Malaysia Merdeka: Keadilan sosial, Barat atau Islam?

- Advertisement -

SEJAK merdeka, Malaysia masih banyak beroperasi dalam kerangka pemikiran Barat dalam politik, ekonomi dan sosial. Walaupun ada usaha Islamisasi dan penegasan nilai tempatan, pengaruh Barat tetap menebal dalam dasar dan struktur negara.

Maka timbul persoalan, bolehkah idea Barat ini membawa kita kepada keadilan yang hakiki?

- Advertisement -

Maksud keadilan sosial

Apabila membicarakan kemerdekaan Malaysia, kita tidak dapat lari daripada isu keadilan sosial.

Secara umum, keadilan sosial bermaksud layanan saksama kepada setiap individu tanpa mengira kaum, daerah atau keturunan. Semua warganegara memiliki hak yang sama di sisi kerajaan, undang-undang dan kebajikan.

Menurut definisi Barat (Britannica):

Social justice… is the fair treatment and equitable status of all individuals and social groups within a state or society.

“Keadilan sosial ialah layanan adil dan status seimbang untuk setiap individu dan kumpulan sosial dalam sesebuah negara atau masyarakat.”

Namun, definisi Barat ini hanya menekankan struktur politik, ekonomi dan undang-undang yang bersifat sekular, memisahkan Tuhan daripada kehidupan.

Pandangan Islam

Antara tokoh Islam yang menekankan konsep ini ialah Sheikh Sayyid Qutb. Dalam kitabnya al-‘Adālah al-Ijtimā‘iyyah fī al-Islām, beliau menegaskan bahawa keadilan sosial dalam Islam bukan sekadar sistem ekonomi, tetapi ‘manhaj hayah’ iaitu metodologi hidup yang menyeluruh.

Islam datang untuk menggabungkan antara agama dan dunia, antara ibadah dan kerja:

الإسلام جاء ليجمع بين الدين والدنيا، بين العبادة والعمل

Sayyid Qutb juga menekankan bahawa konsep keadilan sosial amat berkait rapat dengan tauhid kepada Allah. Beliau menyatakan:

“Kita umat Islam akan menjadi sukar untuk memahami maksud keadilan sosial dengan begitu tepat melainkan setelah kita memahami gambaran sebenar Islam (Tasawwur Islam) mengenai ketuhanan, alam semesta, kehidupan dan manusia itu sendiri. Ini kerana keadilan sosial merupakan cabang daripada empat dasar tersebut.”

Maka jelaslah, keadilan sosial menurut Islam tidak boleh difahami secara terpisah daripada asas tauhid.

Tiga prinsip keadilan sosial Islam

1. Al-Tahrir al-Wijdaniy al-Mutlaq (التحرر الوجداني المطلق)


– Pembebasan jiwa daripada perhambaan selain Allah.

2. Al-Musawah al-Insaniyah (المساواة الإنسانية)


– Kesamarataan manusia; kemuliaan hanya diukur dengan nilai التقوى (ketakwaan).

3. Al-Takaful al-Ijtimaiy (التكافل الاجتماعي)


– Jaminan sosial melalui zakat, sedekah, dan tanggungjawab bersama menjaga kebajikan masyarakat.

Kaitannya dengan Malaysia merdeka

Kemerdekaan 1957 memberi ruang kebebasan politik, tetapi persoalan asas tetap membelenggu:

Adakah kita benar-benar merdeka jika minda, undang-undang dan ekonomi kita masih dibayangi Barat?

Bukankah sepatutnya Malaysia dibina di atas asas keadilan sosial Islam yang menyatukan rohani dan jasmani, individu dan masyarakat?

Allah SWT telah berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan (ihsan).” (Surah al-Nahl ayat 90)

Islam sebagai penyelesaian

Keadilan sosial dalam Islam menolak penindasan, memastikan kekayaan tidak berlegar hanya di tangan elit, serta menegakkan pemerintahan berdasarkan syura dan keadilan. Inilah perbezaan dengan model Barat yang berpaksikan materialisme.

Islam menjadi solusi hakiki kepada kapitalisme dan komunisme kerana kedua-duanya berkongsi akar yang sama menjadikan harta dan dunia sebagai pusat kehidupan.

Kesimpulan

Jika benar kita mahu mengisi erti kemerdekaan yang sebenar, maka kerangka Islam perlu dijadikan asas dalam pembinaan Malaysia yang adil, seimbang dan berkat.

Bukannya sekadar meniru ‘social justice’ ala-Barat yang kering daripada nilai ketuhanan.

ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 22/8/2025

Bacaan tambahan

[1] Ringkasan kitab al-‘Adālah al-Ijtimā‘iyyah fī al-Islām
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1544121069079668&id=442869415871511&set=a.519523974872721
[2] Keadilan sosial dalam sistem masyarakat menurut Mustafa Al-Siba‘I
https://journalarticle.ukm.my/22435/
[3] Social Justice
https://www.britannica.com/topic/social-justice
[4] Keadilan Sosial
https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=keadilan+sosial&d=36924&#LIHATSINI 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -