Pemuda PAS tolak sekatan ke atas suara anak muda

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis menzahirkan solidariti penuh bersama Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Armada BERSATU Malaysia, Muhammad Hilman Idham yang berdepan pertuduhan oleh Jabatan Peguam Negara.

- Advertisement -

Ketua Pemudanya, Haziq Asyraf Dun dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut jelas memperlihatkan cubaan menyekat kebebasan bersuara, sesuatu yang bercanggah dengan prinsip demokrasi sepatutnya menjadi amalan kerajaan.

Menurutnya, kritikan yang disuarakan oleh kedua-dua tokoh muda berkenaan tidak wajar dianggap ancaman, sebaliknya merupakan tanda keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap kedaulatan negara serta keluhuran Perlembagaan.

“Bagi kami di Perlis, kritikan yang dizahirkan oleh tokoh politik muda ini tidak wajar dianggap sebagai ancaman, sebaliknya, ia adalah tanda keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap kedaulatan negara serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan mengheret mereka ke mahkamah hanya memperlihatkan sikap tidak matang kerajaan dalam berdepan suara anak muda,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri.

Beliau menegaskan bahawa, kerajaan perlu membuka ruang untuk mendengar dan meraikan suara rakyat, khususnya generasi muda yang semakin berani menyatakan pandangan demi kebaikan negara.

“Menyekat kebebasan bersuara tidak akan menambah keyakinan rakyat, malah hanya menconteng arang ke wajah Kerajaan Madani yang sering melaungkan slogan keterbukaan.

“Pemuda PAS Perlis berdiri teguh bersama Datuk Dr Akmal dan Muhammad Hilman sebagai tanda kebersamaan dalam mempertahankan demokrasi serta memperjuangkan kebebasan bersuara agar suara anak muda terus subur di tanah air ini,” tegasnya.

Terdahulu Selasa, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara mengeluarkan satu kenyataan mengenai keputusan pertuduhan terhadap Datuk Dr Akmal dan Muhammad Hilman.

Ia berhubung kenyataan mereka di media sosial yang dikatakan telah menggugat ketenteraman awam atau penggunaan tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian dan perkidmatan rangkaian.

Pertuduhan dijalankan dibawah syeksen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret dalam masa terdekat.

Datuk Dr Akmal disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman sebelum itu disebabkan ucapannya terkait Himpunan Solidariti Bendera Malaysia di Kepala Batas, Pulau Pinang berikutan sebuah premis barangan perkakasan memasang Bendera Malaysia secara terbalik.

Manakala Muhammad Hilman dikatakan mengkritik Menteri Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia atas penahanan seorang individu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berikutan Himpunan Turun Anwar yang berlangsung sebelum ini. – HARAKAHDAILY 22/8/2025

- Advertisement -