Usahawan tani raih anugerah tertinggi HPPNK 2025

- Advertisement -

BACHOK: Dato’ Roshfahmi Razak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Tani Jaya sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan (HPPNK) Tahun 2025.

- Advertisement -

Beliau antara 19 usahawan tani berjaya di mana telah membangunkan ladang Musang King terbesar di Malaysia seluas 3,000 hektar melalui syarikat miliknya, Sindora Plantation Sdn Bhd.

Kejayaan itu sekali gus melonjakkan nama beliau sebagai peneraju industri durian negara dengan mengaplikasikan teknologi pertanian moden seperti dron, ‘smart farming’, internet pelbagai guna (IoT) dan automasi.

Projek tersebut menggabungkan ladang baharu serta ladang sedia ada, sekali gus meningkatkan nilai pengeluaran sehingga RM1.3 juta pada tahun 2024 di mana durian dihasilkan bukan sahaja dipasarkan dalam negara malah turit dieksport ke pasaran antarabangsa.

Atas kejayaan itu, beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, di Pantai Irama semalam.

Anugerah ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tani untuk terus membangunkan sektor pertanian, sekali gus menjadikan Kelantan sebagai hab agropolitan yang berdaya saing.

Ketika ditemui beliau berkata, projek pertanian yang diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu kini telah membuahkan hasil sebanyak lima kali dengan pulangan tinggi setiap musim.

Dengan keluasan lebih 3,000 ekar, projek tersebut melibatkan lebih 150 pekerja yang ditugaskan mengikut bahagian termasuk di tapak ladang dan pejabat.

“Permintaan terhadap hasil tanaman berkenaan semakin meningkat, termasuk dari luar negara seperti China. Walaupun terdapat lambakan di pasaran, ia tidak menjejaskan hasil kita kerana permintaan terus tinggi,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 21/8/2025

- Advertisement -