
KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) meminta kerajaan meneliti isu kerosakan jalan di kawasannya yang dikatakan berpunca daripada kerja-kerja pembersihan dan pendalaman sungai.
Beliau berkata, meskipun jalan berkenaan berada di bawah selenggaraan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), namun terdapat lapan lokasi yang rosak dan memerlukan tindakan segera.
“Saya ada gambar di sini. Mungkin saya boleh bagi kepada Yang Berhormat Menteri selepas ini. Adakah peruntukan yang disebut tadi RM500,000 turut mengambil kira kerosakan di lapan lokasi tersebut?” soalnya.
Beliau mengajukan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Afnan berkata, aduan penduduk kampung menunjukkan jalan di kawasan terbabit semakin terhakis apabila kerja-kerja pembersihan sungai dilakukan.
“Persoalannya, adakah kementerian bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pihak kementerian lain bercadang supaya semua kerja-kerja pembersihan sungai selepas ini dilaksanakan sekali dengan pembaikan jalan?
“Ini bagi mengelakkan kerja berulang kali serta risiko kerosakan berterusan?” soal beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kerja-kerja pembaikan dilaksanakan mengikut terma rujukan diluluskan agensi pelaksana seperti JPS atau Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diberikan tanggungjawab.
“Sekiranya berlaku kerosakan di luar jangka atau terdapat keperluan pembaikan tambahan, pihak berkenaan boleh mengemukakan permohonan tambahan untuk dipertimbangkan kementerian,” katanya.
Dalam soalan asal, Afnan minta menteri pertanian dan keterjaminan makanan menyatakan keperluan peruntukan khas daripada pihak kementerian bagi menyelenggara Ban Kampung Batin sehingga Kampung Mergong yang rosak akibat hakisan sepanjang satu kilometer.- HARAKAHDAILY 21/8/2025











