
KUALA LUMPUR: Isu berhubung penggunaan pemain naturalisasi dalam pasukan bola keranjang negara kembali mencuri perhatian apabila Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) membangkitkannya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) berhasrat mengambil dua pemain naturalisasi lelaki dari Nigeria dan Congo, serta seorang pemain warisan wanita dari Amerika Syarikat, sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA di Thailand, Disember 2025.
“Saya berterima kasih kerana KBS telah menyokong permohonan kami, saya difahamkan ia sekarang berada di meja Kementerian Dalam Negeri, nak minta tolong KBS bantu mempercepatkan proses kelulusan.
“Sehubungan dengan itu, nak tanya juga, lazimnya berapa lama proses kelulusan pemain naturalisasi dan pemain warisan,” katanya.
Saifuddin turut mengingatkan tentang kebimbangan segelintir pihak berhubung keseimbangan antara bakat tempatan dan pemain naturalisasi, agar pasukan negara tidak dilihat hilang identiti.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, menegaskan bahawa KBS tidak mempunyai sebarang halangan terhadap penggunaan pemain naturalisasi atau warisan, sebagaimana yang dimohon oleh MABA.
Beliau bagaimanapun mengingatkan supaya fenomena ‘import besar-besaran’ seperti yang berlaku dalam pasukan Cambodia dan Filipina pada Sukan SEA 2023 di Kemboja tidak menjejaskan pembangunan bakat tempatan.
Tambahnya, proses kelulusan pemain naturalisasi dan warisan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebelum itu dalam soalan asal beliau, Dato’ Sri Saifuddin meminta Menteri Belia dan Sukan menerangkan dasar kementerian berkaitan menggunakan khidmat pemain naturalisasi dalam pasukan-pasukan sukan kebangsaan. – HARAKAHDAILY 21/8/2025











