RUU URA: PN gesa bacaan kali kedua ditangguhkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebulat suara membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), malah sebahagian wakil rakyat kerajaan juga tidak sependapat dalam pembentangan itu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming supaya menangguhkan hasratnya bagi membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi bersidang sebelum ini telah memohon agar kerajaan menangguhkan pembentangan tersebut kerana gagal menyelesaikan masalah berbangkit.

“Jadi pandangan PN adalah selari dengan jawatankuasa pilihan berkaitan ini, jadi tidak ada sebab kenapa menteri tidak boleh menangguhkan bacaan kali kedua, apa yang terburu-buru sangat tak perlu terburu-buru, kan?

“Tadi kita sedikit ulasan daripada beberapa ahli parlimen kerajaan tadi yang mengatakan banyak yang mereka tidak setuju, bagi kami RUU ini bercanggah dengan pelbagai undang-undang,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu dalam persidangan Dewan Rakyat, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu itu membangkitkan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 54 di mana sesuatu RUU boleh diserahkan kepada jawatankuasa pilihan sebelum bacaan kali kedua.

Bahkan beliau turut menunjukkan surat Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dihantar kepada Menteri KPKT.

Ujar beliau lagi, RUU tersebut juga tidak dimaklumkan selain tidak diberikan kefahaman yang jelas, menyebabkan pelbagai persepsi timbul dalam insiden pengambilan tanah di Kuala Lumpur termasuk di Kampung Baru.

“Surat ini jawatankuasa pilihan berkaitan dengan rang undang-undang ini minta bacaan kali kedua ditangguhkan sehinggalah semua isu-isu diselesaikan, jadi saya memohon supaya menteri menangguhkan bacaan kali kedua.

“Bukan saja dengan permintaan pihak pembangkang, tapi jawatankuasa pilihan itu sendiri, kerana banyak lagi perkara-perkara yang belum diselesaikan berkaitan dengan rang undang-undang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2025

- Advertisement -