
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata penolakan lebih ramai Ahli Parlimen terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) menjadi petanda bahawa sudah ada penambahan kepada perkara yang diragui dan tidak diyakini dalam pembawaan oleh kerajaan.
Ketua Pembangkang itu berkata, konsep yang perlu dipertahankan adalah wujud konsensus dalam kalangan Ahli Parlimen tanpa mengira parti, dan jika sesuatu perkara itu tidak baik untuk rakyat, semua pihak sepatutnya bersama menolaknya.
“We agree to disagree on the certain thing. Jangan kita ambil kira seperti yang selalu saya bawa iaitu tyranny of the majority, kerana takutkan kepada kedudukan dalam parti sehingga sanggup menjual segala prinsip yang ada dalam agenda politik masing-masing,” ujarnya dalam sidang media di Parlimen, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Larut itu menegaskan, sudah jelas ada kumpulan yang tidak bersetuju dengan undang-undang yang akan dibentangkan pada bacaan kali kedua minggu depan.
Katanya, apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membawa bacaan pertama mengenai rang undang-undang itu, pihak pembangkang menunjukkan bantahan sejak awal.
“Sebab itu Ketua Whip, Datuk (Seri) Takiyuddin (Hassan) sendiri telah bangkit dan memaklumkan kita bersama dengan JKPP iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tentang Infrastruktur. Mereka sudah pun menulis surat untuk menangguhkan pembentangan akta ini.
“Tetapi kita semua dengar tadi bahawa menteri mengaku dia nak bawa dalam sesi ini juga. Itu yang kita bantah dan sebab itu tadi rakan-rakan daripada kerajaan juga ada Ahli Parlimen yang membantah,” tegasnya.
Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, persoalan utama dalam rang undang-undang tersebut ialah banyak perkara belum jelas, khususnya mengenai nilai ambang.
“Bila kita persoalkan tentang nilai ambang ini, menteri mengatakan akan berikan sesuatu angka yang lebih baik, mungkin yang terbaik dalam dunia, dia kata. Saya tak tahulah sama ada perkara itu betul ataupun tidak. Tapi kita akan buat kajian yang mendalam.
“Pada hari Rabu ini, kalau dia bentang juga, kita akan lawan. Terpulanglah pada Ahli Parlimen dari sebelah sana terutamanya daripada PKR, saya nampak ada tujuh orang yang telah pun tidak bersetuju. Mungkin ada dalam Umno juga yang tidak bersetuju, mungkin Sabah Sarawak fikir mereka tak masuk campur bab ini,” dedahnya.
Menurutnya, jika Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak merasakan perkara itu tidak ada kena mengena, beliau meminta supaya mereka berkecuali daripada mengundi kerana undang-undang itu hanya diberikan keutamaan kepada Semenanjung sahaja.
“Jadi saya minta kalau betul mereka rasa ini tak ada kena mengena dengan mereka (Sabah dan Sarawak), contohnya Pengerusi JKPP itu sendiri daripada Tanjung Manis, Sarawak.
“Jadi kalau dia sendiri tak bersetuju, dan mungkin ramai rakan-rakan daripada Sarawak tidak bersetuju dan mungkin juga daripada Sabah kerana kepentingannya (terhadap undang-undang ini).
“Saya nak jelaskan di sini, (inilah akibat) bila kuasa diberikan terlalu luas kepada menteri. Contoh saya nak maklumkan hari ini bila menteri diberikan kuasa terlalu luas (dalam undang-undang tersebut).
“Saya nak tanya kalau tanah itu merupakan tanah yang ada status Malay Reserve sebagai contoh. Apakah menteri boleh tukar supaya Malay Reserve ini boleh dibangunkan?
“Cuma jualan nanti strata title dia macam mana? Apakah strata title tanah itu boleh ditukarkan untuk tidak lagi menjadi Malay Reserve? Itu semua perkara yang harus dimaklumkan kepada kita semua,” desaknya.
Hamzah berkata, perkara itu turut membabitkan isu tanah wakaf yang harus diambil kira dalam pelaksanaan akta berkenaan.
“Ini persoalan-persoalan yang tidak terjawab dalam akta yang ada ini sebab itu banyak soalannya. Tanah wakaf sebagai contoh ini adalah perkara-perkara yang harus diambil kira.
“Jadi kita di sini semua dah tahu, rakyat pun dah tahu kita perjuangkan ini untuk kepentingan rakyat. Ambang ini pun untuk kepentingan rakyat sebab kita tidak mahu disalahgunakan di masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2025











