
KANGAR: Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) muncul juara keseluruhan Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis (IKNPs) 2025 setelah cemerlang dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan, di sini semalam.
Kejayaan ini membuktikan keupayaan murid-murid SRIAT dalam menguasai bidang Al-Quran, bahasa dan kesenian Islam apabila membawa pulang gelaran Johan Keseluruhan.
Dalam kategori Hafazan al-Quran (perempuan), SRIAT berjaya mendapat tempat Naib Johan dengan markah 94 peratus, manakala acara Bercerita (perempuan) pula menyaksikan SRIAT meraih tempat ketiga dengan kutipan markah 91 peratus.
Kejayaan turut dilakar dalam pertandingan Khat (perempuan) apabila peserta membawa pulang gelaran Naib Johan dengan pencapaian 63 peratus.
Lebih manis, SRIAT mendominasi acara Tulisan Jawi apabila peserta lelaki muncul Johan dengan markah 96 peratus, disusuli kejayaan peserta perempuan yang turut bergelar Johan dengan 88 peratus.
Tidak ketinggalan, pasukan Nasyid sekolah ini juga menampilkan persembahan cemerlang sehingga diangkat sebagai Johan dengan markah 88.1 peratus.
Secara keseluruhannya, SRIAT berjaya meraih tiga gelaran Johan, dua Naib Johan dan satu tempat ketiga, suatu pencapaian yang membuktikan kualiti dan kesungguhan para pelajar serta sokongan padu guru-guru dalam melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Sebelum itu, peserta SRIAT berjaya mara ke peringkat akhir dalam 11 kategori saringan, termasuk Tilawah Al-Quran lelaki dan perempuan, Hafazan pelaki dan perempuan, Bercerita lelaki dan perempuan, Khat lelaki dan perempuan, Tulisan Jawi lelaki dan perempuan serta Nasyid.
Mudir SRIAT, Ustaz Azamhari Mohamood, merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta, guru pembimbing, jurulatih serta ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan padu.
“Mohon doa semua agar peserta SRIAT terus bersemangat mencipta kecemerlangan di peringkat kebangsaan nanti, biiznillah,” ujar beliau.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga wadah membina generasi celik Al-Quran yang seimbang antara kejayaan dunia dan akhirat. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











