
KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) menegaskan kerajaan perlu mengambil langkah lebih serius dalam menangani isu buli yang semakin membimbangkan kerana ia melibatkan keselamatan murid dan pelajar.
Beliau berkata, pelbagai insiden buli telah berlaku sebelum ini termasuk membabitkan Allahyarham Shamsul Haris Shamsudin, kejadian pada 28 Julai lalu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai juga mendiang A Rajeswary atau Esha, kes buli siber.
Terkini menurutnya Zara Qairina Mahathir, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), serta insiden terbaharu pada 17 Ogos lalu membabitkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun di Johor yang dipaksa ditelanjangkan dan dipukul sehingga bergegar otak.
“Apabila benda ini semakin meruncing, saya cadangkan supaya kerajaan lebih serius menguruskan persepsi rakyat. Dalam hal ini, di sebalik fakta yang disebut oleh menteri, di sebalik proses undang-undang, rakyat tidak tengok teknikal atau istilah undang-undang.
“Masalahnya sudah hampir satu bulan tiga minggu berlangsung, tidak ada fakta, tidak ada penjelasan kecuali setelah menteri memberi penjelasan yang terperinci barulah rakyat tahu kedudukan isunya.
“Perkara ini perlu direspon dengan pantas kerana bila respon lambat, ia membuka ruang spekulasi dan akhirnya memudaratkan lagi situasi,” ujarnya ketika membahaskan isu berkaitan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurutnya, kelewatan penjelasan menyebabkan rakyat menyebarkan pelbagai versi di media sosial sehingga mewujudkan perasaan tidak selamat.
“Rakyat rasa tak selamat. Kita hantar anak ke asrama dengan beg pakaian, tiba-tiba waris menerima semula beg hitam mengandungi jenazah anak.
“Itu membimbangkan dan sebab itu rakyat berhimpun menunjukkan rasa tidak puas hati. Tidak boleh kita salahkan rakyat berhimpun (kerana itu berpunca daripada keresahan mereka).
“Ada pemimpin guna istilah ‘budak mati’, saya rasa tak sopan guna (istilah itu, sebaiknya guna) nama arwah Zara Qairina,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Afnan Hamimi turut mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan pengurusan krisis terutama berkaitan komunikasi dengan lima cadangan utama.
“Pertama, pastikan ada jurucakap tunggal atau _‘single spokesperson’_. Kedua, maklumat perlu diberikan secara berkala harian atau mingguan. Ketiga, gunakan kepelbagaian medium komunikasi.
“Keempat, sepanjang krisis berlangsung, terutama isu adik Zara ini, keluarga mangsa perlu dihormati dan jangan sewenang-wenangnya dibuat kandungan untuk ambil kesempatan naikkan ‘rating view’ dia.
“Jangan gunakan sekolah untuk ucap selamat hari lahir kepada orang dalam keadaan sekolah tu orang sedang berduka cita. Yang kelima saya cadang kerajaan umum langkah-langkah yang serius dan meyakinkan supaya rakyat lihat kerajaan serius.
“Contoh langkah serius, pasang cctv RM3 juta tu serius tapi harganya RM3 juta. Pin Jalur Gemilang itu RM8 juta, apa cctv lebih mahal daripada pin Jalur Gemilang?
“Patut kerajaan umum mewujudkan jawatan warden asrama secara tetap ni langkah-langkah serius dan sekurang-kurangnya sebut kita akan gubal rang undang-undang anti buli itu akan lebih meyakinkan rakyat,” cadangnya.
Beliau berkata, slogan seperti laungan ‘Kami Antibuli’ tidak memadai tanpa projek kefahaman dan pendidikan jangka panjang bagi membaiki manusia di sekolah.
“Apa yang kita mahu sebenarnya tiga perkara kita nak kembalikan semula keyakinan rakyat kepada sistem yang ada. Kedua kita nak supaya rasa selamat ahli keluarga masyarakat guru semua rasa selamat kepada sekolah institusi pendidikan yang kita ada.
“Yang ketiga kita nak keluarga mangsa dihormati rasa terbela tak dipinggirkan dan tidak tertindas,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











