Perlu jelaskan isu ketidakpatuhan siasatan kes Zara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung ketidakpatuhan prosedur siasatan polis dalam kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

- Advertisement -

Beliau berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia turut diakui sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Kumar Muthuvelu, dalam kenyataan media pada 13 Ogos lepas.

“Antara intipati kenyataan itu menyebut pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk bedah siasat. Malah tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan ketua bahagiannya,” katanya ketika membahaskan Isu Keselamatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau merujuk kepada Seksyen 329 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang memperuntukkan kewajipan pegawai penyiasat terhadap kes kematian, serta Seksyen 330 mewajibkan pemeriksaan ‘post-mortem’ dijalankan sekiranya terdapat alasan untuk mengesyaki kematian berlaku secara mengejut atau dalam keadaan luar biasa.

“Saya ingin merujuk kepada kewajipan setiap pegawai yang membuat penyiasatan di bawah Seksyen 329 tadi hendaklah jika tampak kepadanya apa-apa sebab untuk mengesyaki bahawa si mati itu mati secara terkejut atau dalam keadaan luar biasa.

“(Maka) segera memberitahu kepada pegawai perubatan kerajaan dan segera membawa mayat ke hospital kerajaan untuk mengadakan pemeriksaan ‘post-mortem’ terhadap mayat itu oleh pegawai perubatan kerajaan (bawah Seksyen) 330.

“Proviso kepada perkara ini disebut jelas dengan syarat jika pegawai yang menyiasat itu berpuas hati sebab kematian dan bahawa si mati menemui ajalnya disebabkan kemalangan ia boleh memerintahkan mayat itu dikebumikan dengan segera.

“Maksudnya apabila sesuatu kematian ini diketahui ia berlaku disebabkan oleh sebab yang tidak boleh ditentukan bukan kemalangan maka ‘post-mortem’ adalah wajib diadakan.

“Tetapi kenapa pegawai penyiasat yang telah menyiasat kes ini, ini juga adalah intipati Datuk M Kumar terdapat persetujuan atau permohonan ibu mangsa supaya bedah siasat tidak dibuat, seolah-olah ibu mangsa pula yang bersalah,” katanya.

Takiyuddin juga mempersoalkan alasan ibu mangsa bersetuju untuk tidak dilakukan bedah siasat, sedangkan keputusan seperti itu perlu dibuat dengan kefahaman penuh mengenai implikasinya.

“Adakah ibu kepada Zara telah diberikan penjelasan oleh pegawai penyiasat mengenai akibat sekiranya ‘post-mortem’ tidak dijalankan?

“Saya juga ingin bertanya, adakah pegawai penyiasat benar-benar berpuas hati bahawa kematian Zara berpunca daripada kemalangan sehingga mayat dibenarkan dikebumikan dengan segera, sebagaimana yang disebut dalam peruntukan undang-undang?

“Aspek-aspek ini perlu dijelaskan oleh pihak kerajaan, khususnya pihak polis, dengan penuh hormat, profesionalisme pasukan keselamatan. Tetapi ini adalah ketidakpatuhan yang diakui sendiri oleh pihak berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025

- Advertisement -