Zara Qairina: Harap inkues adil tanpa campur tangan lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Inkues yang adil dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan. Ia juga menghantar mesej yang jelas, setiap nyawa rakyat mempunyai nilai yang sama di sisi undang-undang negara.

- Advertisement -

“Rakyat melihat apa yang berlaku kepada berapa lama pihak berkuasa buat kenyataan, tetapi bila berlaku kepada pembangkang cepat pihak berkuasa membuat kenyataan,” kata Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

Beliau merujuk kepada hasrat kerajaan untuk melaksanakan siasatan rasmi atau inkues pada September ini terhadap kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir,13, yang tidak dapat dirungkai sehingga hari ini.

Malah beliau menyambut baik keputusan yang diutarakan oleh Jabatan Peguam Negara supaya inisiatif tersebut dilaksanakan, namun siasatan yang bebas tanpa campur tangan pihak berkepentingan perlu diutamakan.

Ujarnya, keadilan bukan sekadar hukuman atau mencari pihak yang bersalah, tetapi memastikan insiden terbabit tidak berulang dan menjadi asas panduan kepada penambahbaikan prosedur siasatan keselamatan awam.

“Saya berharap inkues ini akan dijalan tanpa campur tangan atau tekanan daripada mana-mana pihak, semua bukti perlu dibentangkan secara menyeluruh termasuk keterangan saksi dan laporan forensik yang lengkap.

“Saya juga berharap semua yang terlibat akan mengendalikan inkues ini dengan penuh integriti, saya menyokong tuntutan ibu Zara juga dilibatkan dalam inkues ini,” kata Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN) itu.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi Perbahasan Khas Isu Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Pada peringkat awal Saifuddin menerima sepenuhnya penerangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha itu.

Bagaimanapun beliau kesal setelah dua minggu kematian tersebut berlaku tidak ada sebarang penjelasan dari mana-mana pihak termasuk membangkitkan beberapa persoalan di hadapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Tetapi Menteri Pendidikan tidak ‘address’ lapan soalan itu, pada 1 Ogos di ‘posting’ media sosial, saya mencadangkan kepada peguam keluarga Zara supaya diadakan bedah siasat.

“Pada 3 Ogos saya buat ‘posting’ media sosial kata setuju dengan kenyataan peguam keluarga Zara bahawa siasatan itu tidak lengkap dan berharap Perdana Menteri menasihati Peguam Negara agar mengembalikan semula kes ataupun kertas siasatan ke Sabah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025

- Advertisement -