
BADAN Perhubungan PAS Negeri Johor menyambut baik kejayaan Kerajaan Negeri menarik pelaburan pusat data bernilai RM164.45 bilion. Namun, di sebalik potensi kemajuan ini, PAS Johor sebagai ejen semak dan imbang yang bertanggungjawab, terpanggil untuk menyuarakan kebimbangan mendalam yang lahir dari suara hati rakyat mengenai impak sebenar projek mega ini terhadap kehidupan harian, alam sekitar, dan masa depan Bangsa Johor.
Hakikatnya, pembangunan pusat data berskala gergasi akan mengubah landskap sosio-ekonomi dan sumber asli negeri secara drastik. Projek ini diibaratkan seperti membina puluhan ‘loji tenaga’ yang akan menggunakan sumber elektrik dan air pada kadar yang belum pernah terjadi sebelumnya. Selain itu, haba panas yang dilepaskan secara berterusan oleh ribuan pelayan ini berisiko mewujudkan kesan ‘Pulau Haba Bandar’ (Urban Heat Island), yang boleh meningkatkan suhu setempat dan menjejaskan keselesaan serta kualiti hidup penduduk di kawasan sekitar. Di saat rakyat masih berdepan isu asas seperti tekanan kos sara hidup dan gangguan bekalan air, adalah menjadi satu kejanggalan jika kemudahan asas dan keselesaan untuk rakyat dikorbankan demi memenuhi tuntutan industri.
Kenyataan mengenai perwujudan 6,000 pekerjaan berkualiti juga menimbulkan persoalan besar. Tanpa pelan pembangunan bakat tempatan yang terperinci, wujud risiko tinggi bahawa jawatan-jawatan berkemahiran tinggi akan diisi oleh tenaga kerja dari luar atau ekspatriat. Manakala anak muda Johor pula hanya berpeluang mengisi jawatan sokongan atau pekerjaan sementara di tapak binaan. Jika ini berlaku, rakyat Johor hanya akan menjadi pemerhati kepada kemakmuran yang mengalir keluar dari tanah air mereka sendiri, sambil menanggung beban kenaikan kos hidup dan kesesakan infrastruktur.
Sehubungan itu, PAS Johor mendesak Kerajaan Negeri dan pihak berwajib untuk mengambil langkah segera dan telus berikut:
1. Membentangkan pecahan terperinci 6,000 peluang pekerjaan yang dijanjikan dan mewujudkan pelan tindakan strategik bersama universiti dan institusi TVET tempatan bagi memastikan anak Johor menjadi pengisi utama jawatan berkemahiran tinggi.
2. Mewajibkan semua pelabur pusat data mematuhi syarat kelestarian yang ketat, termasuk had minima Power Usage Effectiveness (PUE) dan Water Usage Effectiveness (WUE), serta mandat untuk menjana sebahagian tenaga melalui sumber boleh baharu (Renewable Energy) bagi mengurangkan beban pada grid negeri.
3. Mengaudit semula unjuran permintaan air dan elektrik negeri dan mendedahkan kepada umum pelan mitigasi kerajaan bagi mengelakkan sebarang catuan atau gangguan bekalan kepada rakyat pada masa hadapan.
4. Menggubal satu dasar ‘Pulangan Komuniti’ (Community Return) di mana sebahagian peratus keuntungan atau cukai daripada pelaburan ini disalurkan terus ke dalam tabung khas untuk menaik taraf infrastruktur awam seperti jalan raya, pengangkutan awam, dan hospital yang memberi manfaat langsung kepada semua rakyat.
5. Menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemantau Awam yang dianggotai oleh wakil komuniti, pakar alam sekitar, dan ahli akademik bagi memantau impak operasi pusat data secara berkala dan memastikan semua syarat dipatuhi.
6. Melaksanakan Audit Impak Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar secara menyeluruh dan bebas bagi setiap fasa pembangunan, dan mendedahkan hasilnya kepada umum untuk semakan dan maklum balas.
Tugas utama sebuah kerajaan adalah menjaga amanah dan memastikan setiap pembangunan membawa kesejahteraan yang merata kepada rakyatnya. Kekayaan yang dijana dari bumi Johor mesti dinikmati oleh rakyat Johor. PAS Johor menegaskan, jika kita benar-benar mahu Johor maju dan sejahtera, pembangunan mestilah berpaksikan rakyat, telus, dan lestari, bukannya sekadar mengejar angka pelaburan tanpa memikirkan akibatnya.
‘Islam Adalah Penyelesaian’
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI,
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 17/8/2025











