
KALABAKAN: Yang Dipertua PAS Kawasan Kalabakan, Ahmad Dullah berkata, PASTI bukan sekadar institusi pendidikan awal, tetapi medan melahirkan pemimpin masa depan.
“Anak-anak yang berani tampil berpidato di pentas PASTI hari ini, insya-Allah suatu hari nanti akan berdiri di medan lebih besar membawa suara rakyat dan mempertahankan agama.
“Dari sinilah lahirnya generasi pintar, soleh, celik al-Quran dan yakin dengan jati diri,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Penutup Ihtifal Alam Ria PASTI Kawasan Kalabakan 2025 di SRI Al Fateh, Taman Ria di sini, semalam.
Beliau turut menekankan bahawa masa depan Sabah perlu dibina dengan pendidikan Islam yang kukuh.
Katanya, proses demokrasi yang bakal dilalui negeri ini harus menjadi peluang untuk memilih pihak yang benar-benar peduli kepada suara rakyat, pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Justeru, ujarnya tragedi yang menimpa arwah Zara Qairina merupakan peringatan penting tentang tanggungjawab kolektif masyarakat terhadap keselamatan dan kebajikan anak-anak.
“Peristiwa yang menimpa arwah Zara mengingatkan kita semua bahawa setiap nyawa anak-anak adalah amanah yang wajib dipelihara.
“Jangan kita leka walau sesaat, kerana harga sebuah nyawa tidak mampu diganti,” tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah.
Beliau turut menambah bahawa PASTI akan terus memainkan peranan bukan sahaja sebagai institusi pendidikan, malah sebagai medan membentuk akhlak, ilmu dan keprihatinan masyarakat terhadap isu keselamatan kanak-kanak.
“PASTI akan terus mendidik anak-anak dengan ilmu dan adab, pada masa yang sama memastikan kebajikan serta keselamatan mereka sentiasa diberi perhatian,” ujarnya.
Sebagai tanda sokongan, anak-anak PASTI yang membuat persembahan turut menyelitkan mesej solidariti melalui sajak, nyanyian dan poster yang membawa mesej ‘Justice For Zara’. – HARAKAHDAILY 17/8/2025











