Israelraya

- Advertisement -

BARU ini, Netanyahu telah mengisytiharkan mimpi mereka untuk menubuhkan Israelraya. Hakikatnya, idea ni dah lama. Iaitu sejak terbitnya buku yang ditulis oleh Theodor Herzl pada 1896.

Untuk merealisasikan hasrat itu, Israel memulakan dengan agenda untuk mendapatkan Palestin, bermula dengan negosiasi dengan Uthmaniah yang menaungi wilayah itu. Namun, usaha itu tidak berjaya disebabkan ketegasan Sultan Abd Hamid II.

Sultan Abd Hamid lebih awal dapat menghidu perancangan jahat mereka melalui dua jalur sungai yang ingin dikuasai oleh mereka, iaitu Sungai Furat dan Tigris.

Justeru, Herzl dan kelompok Yahudinya telah merencanakan untuk menggulingkan Sultan Abd Hamid II. Iaitu dengan memperalatkan anak muda Turki (Youngturks), dan kumpulan Ittihad Wat Taraqqi.

- Advertisement -

Selain itu, para intelligent Barat turut menyusup masuk di kalangan kabilah-kabilah Arab, untuk mencetuskan Arab Revolt pada 1916-1918. Mereka memperalatkan Syariff Hussein untuk melaksanakan kebangkitan itu.

Kebangkitan itu berkesudahan dengan keluarnya negara-negara Arab daripada naungan Uthmaniah. Masing-masing tertipu dengan slogan nasionalisme yang dibakar oleh para intelligent itu tadi.

Dalam pada itu, berlakunya Sykes Picot antara British dan Perancis. Pakatan antara dua negara ini bertujuan untuk mengambil alih negara-negara Arab. Termasuk juga Deklarasi Balfour pada 1917, sebagai tekad British untuk melaksanakan hasrat untuk menubuhkan Israelraya.

Hasilnya, British telah berjaya memasuki Palestin, dan mengambil wilayah itu. Orang-orang Arab ketika itu sedang fanatik membantai Uthmaniah, merasakan British bukanlah ancaman

Kapal-kapal British ketika itu digunakan untuk mengangkut penganut-penganut Yahudi di serata dunia, dan disumbat di tanah itu. Masyarakat Arab tidak lihat ia sebagai satu ancaman. Masing-masing sedang menyimpan kebencian terhadap Uthmaniah yang telah dilagakan oleh intelligent British.

Di sinilah bermulanya penguasaan Yahudi secara beransur-ansur, sehingga diisytiharkan sebagai sebuah negara pada 1948. Negara Islam yang tersedar, ada melakukan serangan ke atas Yahudi, namun dipertahan oleh Amerika.

Amerika ketika itu adalah kuasa besar yang baru sahaja ‘menang’ dalam Perak Dunia Kedua. Manakala kestabilan Yahudi di Palestin bergantung kepada pertahanan mereka daripada ancaman negara negara Arab.

Lalu, Israel perlu melaksanakan agenda khusus untuk memastikan hal tersebut. Antaranya dengan menjalinkan hubungan dengan negara negara Arab yang mesra dengan mereka, dan menimbulkan kekacauan pada negara yang bertentangan dengan mereka.

Antaranya pada 1982, Oded Yinon telah melakar pemetaan Asia Barat. Projek ini bagi merealisasikan hasrat Israelraya tadi. Justeru, untuk merealisasikan hasrat ini, wilayah wilayah yang dipetakan tersebut perlu ‘dikacau’, sehingga bergolak.

Pada 1983, idea Israelraya dikembangkan pula oleh Bernard Lewis, seorang pemikir Amerika. Pemetaan distruktur dengan disulam pertembungan sesama Islam di wilayah-wilayah yang disasarkan.

Pada tahun yang sama, Amerika telah mengisytiharkan 5 negara Islam sebagai paksi keganasan. Iaitu, Libya, Iran, Iraq, Syria dan Sudan. Negara-negara dilabel sebegitu antaranya kerana berpendirian keras terhadap Israel

Manakala negara-negara Arab yang ‘berlembut’ dengan Israel mula mengadakan normalisasi. Mesir adalah yang terawal, kemudiannya Jordan. Kedua-dua negara termasuk dalam Projek Pemetaan Semula Asia Barat tadi.

Idea-idea ini telah banyak mencetuskan kekacauan di rantau Asia Barat, iaitu di negara negara Arab. Perkara ini menjadi lebih rumit setelah kemunculan al Qaeda.

Kumpulan ini muncul seiringan dengan propaganda Barat untuk memburukkan imej politik Islam. Islam ketika itu dipotretkan sebagai pengganas. Antaranya melalui tragedi 11 September 2001, apabila WTC dan Pentagon dilanggar kapal terbang.

Lantas, promosi Islamofobia tersebar secara meluas. Memberi fokus untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia terhadap kuasa politik Islam yang bertentangan dengan agenda Barat.

Pasca 11 September 2001, muncul lagi idea Pemetaan Semula Asia Barat versi Leftenan Ralph Peters pada 2006. Masing-masing konsisten mendukung hasrat untuk menubuhkan Israelraya

RAND Corp yang menjadi badan penyelidik Amerika, ketika itu banyak menerbitkan kajian-kajian yang memberi fokus untuk memecah belahkan Islam, khususnya di rantau Asia Barat. Kajian-kajian ini sebagai pembuka lorong kepada merealisasikan Israelraya

Perpecahan sesama Islam dijayakan oleh ISIS dan ISIL atas slogan mengembalikan Khilafah Islamiah kononnya. Masing-masing muncul bagi mewarisi ‘perjuangan’ al Qaeda, yang dilihat lebih menguntungkan Barat.

Fokus mereka adalah Iraq dan Syria. Kedua-dua negara ini merupakan penentang kuat dasar Barat, yang dilabel oleh Amerika sebagai paksi keganasan. Namun, dengan adanya ISIL dan ISIS, kedua dua negara ini berjaya dicetuskan kekacauan.

Percaturan demi percaturan belakang tabir oleh Amerika, akhirnya mencetuskan Arab Spring, bertemakan ‘regime change’. Revolusi ini telah mengorbankan 2 daripada 5 negara yang diisytihar sebagai paksi keganasan oleh Amerika.

Negara-negara inilah yang kita kenali sebagai kuasa Arab yang tegas melawan agenda Israelraya sebelum itu, Iaitu Iraq dan Libya. Kehilangan kedua dua paksi ini mengendurkan penentangan ke atas idea Israelraya.

Pasca Arab Spring, pada 2013, Robin Wright telah mengembangkan idea Pemetaan Semula Asia Barat (Israelraya). Idea beliau lebih memberi fokus kepada meruncingkan lagi pertembungan mazhab.

Kesan pertembungan Mazhab yang dijana, dan projek ‘regime change’ akhirnya mengheret kepada kekacauan demi kekacauan di negara-negara terbabit.

Antaranya, Sudan mengalami pergolakan (chaos), dan akhirnya menjadi tidak stabil pada 2020, sehinggalah kini. Syria pula, sekalipun dapat bertahan sehingga 2024, dan akhirnya terguling juga.

Berbaki Iran sahaja yang masih kekal, untuk melawan projek Israelraya dan Amerika. Baru-baru ini dinyatakan seramai 21,000 disyaki ejen Mossad telah ditangkap di negara itu.

Pendedahan ini menggambarkan betapa projek untuk menjahanamkan Iran dari dalam sedang giat dilakukan oleh Israel. Propaganda mazhab sering menghiasi ruangan penentangan ke atas Iran.

Negara-negara Arab yang menjalinkan hubungan normalisasi dengan Israel semakin bertambah. UAE pada 2020, Marocco dan lain-lain. Bahkan, mereka dengan tanpa segan silu mempromosikan dasar Israel itu sendiri.

Kerajaan Palestin sama juga. Turut menyebelahi Israel. Mereka mengecam tindakan pembangkangnya iaitu HAMAS. Gaza yang dikuasai oleh parti itu masih bertahan walaupun diasak bertalu-talu dari segenap sudut.

Hari ini, setelah lebih 100 tahun idea Israelraya dilambung ke atas, akhirnya disuarakan secara rasmi oleh Netanyahu. Kuasa dan suara yang menentang agenda ini semakin jauh kedengaran.

Persoalannya, adakah negara-negara Arab akan sedar dengan projek Israel ke atas wilayah mereka, dan kembali bertaring seperti dahulunya? atau terus menjadi anjing-anjing yang menjaga Israel itu sendiri?

USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) – HARAKAHDAILY 17/8/2025


- Advertisement -