
JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor memerhati dengan senyuman sinis kenyataan terbaru Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang mendesak pimpinan memutuskan kerjasama dengan Ketua Pemuda Umno.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Johor, Mohamad Firdaus Adnan berkata, ironinya kumpulan itu lantang mempertahankan individu yang jelas menghina negara dengan mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.
“Bila simbol negara dihina, mereka berlagak sebagai pejuang kebebasan bersuara. Tapi bila pandangan politik tidak selari, tiba-tiba mahu menjadi ‘penapis moral’ dan hakim politik kepada rakan sendiri,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sikap itu bukan baharu kerana dalam sejarah politik negara, rakyat pernah menyaksikan babak hampir sama sewaktu era Pakatan Rakyat.
Ia jelasnya, apabila Lim Guan Eng secara terburu-buru mengumumkan putus hubungan dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Tiada rundingan, tiada perbincangan. Hanya ego dan emosi yang memimpin tindakan,” bidasnya.
Katanya, DAPSY perlu cermin diri dan sebelum mahu menjadi hakim kepada orang lain, bersihkan dahulu rekod sikap berbelah bahagi terhadap isu prinsip dan maruah negara.
“Hormati maruah negara, pembelaan terhadap tindakan menghina simbol negara seperti bendera terbalik adalah bukti jelas bahawa DAPSY tidak konsisten dalam isu prinsip dan integriti nasional,” tempelaknya.
Dewan Pemuda PAS Johor menurutnya, turut mengingatkan semua pihak bahawa rakyat tidak memerlukan drama politik bermusim yang diulang tayang.
“Yang rakyat perlukan ialah pemimpin yang konsisten dalam prinsip dan berani dalam kebenaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2025











