
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menggesa rakyat memakai pakaian berwarna hitam sempena sambutan Hari Sabah, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai tanda solidariti terhadap kes kematian Almarhumah Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, tindakan simbolik itu membawa mesej dukacita, kebersamaan dan desakan kepada pihak berkuasa agar bertindak tegas serta telus menyelesaikan kes berkenaan.
“Kes ini bukan sekadar tragedi peribadi tetapi isu kemanusiaan dan keadilan yang menyentuh hati seluruh rakyat Sabah dan Malaysia.
“Warna hitam dipilih sebagai simbol dukacita, solidariti dan tuntutan keadilan terhadap kes yang sedang diperjuangkan,” katanya dalam kenyataan di laman sosial, pada Rabu.
Menurutnya, langkah itu aman, berhemah dan berperlembagaan, bertujuan memberi isyarat bahawa rakyat memerhati, menilai dan menuntut perkembangan siasatan yang telus.
Aliakbar turut menggesa pihak berkuasa segera memaklumkan perkembangan terkini siasatan serta memastikan keadilan ditegakkan tanpa campur tangan atau kelengahan yang tidak wajar.
“Saya menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menjadikan suara keadilan ini satu gelombang yang tidak dapat diabaikan, demi memastikan tiada lagi tragedi seumpama ini berlaku pada masa hadapan,” ujarnya.
Pada 17 Julai lalu, Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Sebelum itu, pada jam 4 pagi, 16 Julai, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar sebelum dibawa ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











