
KUALA LUMPUR: Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri bersedia memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pagoh berhubung kenyataan berkaitan pemberian subsidi kepada warga asing.
Beliau berkata, sebelum ini Perdana Menteri mendakwa Pagoh menyatakan subsidi beras juga perlu diberikan kepada warga asing, selain menuduh beliau (Rosol) tidak membuat ‘homework’ sebelum hadir ke Parlimen.
Menurut Rosol, kenyataan mengenai subsidi itu sebenarnya dibuat oleh Menteri Pertanian yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, bukannya Pagoh.
“Yang kata subsidi beras untuk warga asing tidak perlu ditarik ialah Menteri Pertanian yang juga Kota Raja, bukan Pagoh. Jadi, adakah Tambun bersedia memohon maaf pada Pagoh dan saya?” soalnya dalam soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau bertanya sama ada kerajaan bercadang meminda peruntukan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (RUU SKMM) bagi memastikan penyebaran berita palsu dapat dibendung dengan lebih berkesan.
“Adakah juga perlu dipinda undang-undang tersebut?” soalnya.
Dalam perbahasan sama, Rosol turut mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan undang-undang lompat parti yang digubal sebelum ini sama ada benar-benar mencapai tujuan asal atau memerlukan pindaan bagi menutup ruang manipulasi politik.
Beliau berkata, undang-undang tersebut perlu dilihat semula sekiranya masih wujud kelemahan yang membolehkan wakil rakyat bertukar parti tanpa mengikut semangat peruntukan itu.
“Kita tak mahu lagi wujud ‘mambang-mambang’ baru, adakah ia hendak dipinda?” soalnya.
Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan semua keterangan berhubung dakwaan tersebut.
“Kalau dipastikan sumber yang digunakan tidak sahih, itu satu kesilapan saya dan saya tidak ada masalah (mengakuinya). Saya telah minta MCMC mendapatkan penjelasan.
“Ada yang salah faham kononnya MCMC siasat Pagoh, sedangkan saya hanya meminta mereka menyemak sumber tersebut sama ada sahih atau tidak.
“Kalau tidak sahih, maka memang kenyataan itu tidak benar, tetapi biarlah kita tunggu keputusan MCMC dahulu,” katanya.
Dalam isu undang-undang lompat parti, Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah jika cadangan pindaan dibawa semula kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi diperkukuh.
Dalam soalan asal, Rosol minta Perdana Menteri menyatakan senarai undang-undang yang disifatkan sebagai lapuk akan dipinda atau dimansuhkan oleh Kerajaan.
Katanya, ia bagi memastikan ia selaras dengan semangat dan prinsip reformasi yang dilaungkan sebelum ini serta garis masa pelaksanaannya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











