
JABATAN Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues susulan kematian Zara Qairina Mahathir pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah.
Prosiding itu dilakukan setelah meneliti laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaras dengan peruntukan Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi memastikan kasus bebas dan telus mengikut undang-undang seperti dipetik daripada sumber media utama tempatan.
Mangsa dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan disahkan meninggal dunia kemudian dikebumikan di kampung halamannya di Sipitang. Peristiwa tragis yang menggegerkan massa apabila mangsa ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 16 Julai lalu.
Kemelut menggempar negara apabila ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula kerana difahamkan mangsa terkorban tidak menjalani proses bedah siasat yang menjadi kelaziman SOP forensik bagi mendapatkan jawapan dan keadilan.
Tambahan bahan bukti, iaitu pakaian dan barang tidak diambil untuk siasatan lanjut menimbulkan pelbagai persoalan yang menjurus pada ketidakadilan kepada mangsa.
Apalagi tular di media sosial bahawa tuduhan mangsa dibuli masing-masing membabitkan anak-anak VVIP (very-very important person). Mangsa maut kerana tengkorak pecah, otak mati, kepala berair apabila disentuh, organ rosak teruk, saraf tunjang putus, jantung bengkak, tangan dan kaki patah. Manakala peguam keluarga mengesahkan terdapat kecederaan pada tubuh Zara Qairina seperti yang tersebar di media sosial, termasuk kecederaan patah.
Ini mendorong orang ramai turun unjuk rasa di beberapa lokasi kota baik di Sabah mahupun di Semenanjung kerana pihak berkuasa kurang proaktif dan reflektif menjelaskan isu yang membabitkan kes jenayah buli.
Isu buli telah masuk lingkungan jenayah berat kerana mangsa mengalami kecederaan, kecacatan kekal dan hilang nyawa di samping tingkah laku dan gangguan emosi atas trauma dialaminya. Buli dalam kalangan pelajar di sekolah perlu ditangani dan dipertanggungjawabkan pihak sekolah, jabatan pendidikan sekali gus Kementerian Pendidikan.
Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri dikesan reaksi dan informasi tahap lemah dan kendalian tidak afektif menangani kes nyawa pelajar yang maut di premis kelolaan kerajaan seperti didakwa terjatuh dari bangunan sekolah.
Pascasiasatan beberapa pelajar dipindah sekolah oleh pengetua dilihat tidak merungkai kes berat membabit hilang nyawa dan pelaku pula pelajar sekolah agama apalagi pengetua didakwa meminta ibu Zara tidak lapor kepada polis.
Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur. Lanjutannya peguam diarahkan memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM telah membentuk Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman turun ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes. Dalam laporan media oleh Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) bahawa pasukan task force terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai suatu komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan holistik.
Kini menurut sumber, pengetua sekolah, warden dan PK HEM telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) hingga siasatan selesai. Ini kerana kes tersebut merupakan keutamaan KPM yang berharap siasatan telus dan sepenuhnya untuk keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat. Malah mereka bertanggungjawab penuh persoalan tadbir urus pelajar dalam tempoh keberadaan di sekolah atau di asrama.
Atas gesaan massa tindakan proses bedah siasat dilaksanakan oleh empat pakar patologi termasuk pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor. Informan sebagai saksi ikut serta dalam proses berkenaan, iaitu peguam mangsa dan tiga polis PDRM yang memakan masa 8 jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Kemudian jenazah dikebumikan kembali di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.
Pelajar dihantar ke sekolah untuk menuntut ilmu dan membina insan mulia serta warganegara yang memenuhi prinsip rukun negara dan falsafah pendidikan kebangsaan. Kejadian tragis menimpa arwah Zara Qairina titik merah kerana pembuli sistemik tidak menoleh impak sebaliknya ibu bapa pula bimbang tahap keselamatan anak-anaknya.
Mereka menaruh kepercayaan pada suasana kondusif bukan saja di kelas waktu proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) malah kasus iklim sekolah yang selamat baik formal mahupun di lapangan seperti di padang atau aktiviti persatuan dan kelab sama ada sukan lasak dan sukaneka.
Oleh itu, penggubal hukum perlu meneliti kes buli sama ada di institusi pendidikan mahupun dalam masyarakat suatu ancaman pada nilai insaniah dan nyawa manusia.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio@Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 14/8/2025











