Bakat catur PASTI Maran ke pentas kebangsaan

Muhammad Danial
- Advertisement -

MARAN: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia menaja murid PASTI Al-Barakah Bandar Maran, Muhammad Danial Abdul Rahman, bagi menyertai empat kejohanan catur bertaraf kebangsaan dalam masa terdekat.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Maran, Muhammad Salman Al-Farisi berkata, tajaan khas itu disampaikan oleh Pengarah PASTI Negeri Pahang, Ustaz Khairul Nizam Che Mansor semasa ziarah ke PASTI Al-Barakah, pagi semalam.

Menurutnya, empat kejohanan tersebut ialah Paragon Feimi Cup 2025 anjuran Eden Chess Academy, Johor; Pertandingan Catur Merdeka anjuran JB Chess Academy, Johor; National Scholastic Chess Championship anjuran Malaysia Chess Federation, Perak; dan Shamelin Youth Chess Tournament 2025 anjuran Kuala Lumpur Chess Academy.

“Bakat catur adik Danial sudah mula menyerlah apabila sebelum ini beliau meraih tempat keempat kategori Bawah 8 Tahun di IIUM Chess Festival U-12 (17 Mei 2025) dan tempat kedua kategori Bawah 8 Tahun di Lepak ‘N’ Learn 2025 Chess Tournament (26 Julai 2025).

“Malah menjadi juara kategori umur 7 Tahun di AEON Mall Shah Alam Chess Under 14 Category (27 Julai 2025),” katanya.

Selain aktif dalam sukan, Danial turut cemerlang dalam akademik apabila menerima Anugerah Mumtaz 5 Tahun PASTI Maran dan tempat ketiga Pertandingan Hafazan Bawah 6 Tahun anjuran Kementerian Usahawan Desa pada Julai lalu.

Muhammad Salman yang juga Pengerusi PASTI Kawasan Maran turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada Danial serta menyeru masyarakat mendoakan kejayaan murid berkenaan.

“Kita bangga dengan pencapaian anak-anak kecil yang berpotensi besar seperti Danial. Semoga beliau menjadi inspirasi kepada generasi muda lain untuk menggabungkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan bakat sukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025

- Advertisement -