Bahana tinggalkan integriti, masalah bawah DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam Islam, integriti mengatasi segala-galanya dengan sistem zakat dan cukai diwajibkan hanya kepada yang mampu, manakala golongan tidak mampu dibebaskan, sekali gus berjaya mengatasi masalah kemiskinan dan pengangguran.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, kegagalan semua ideologi Barat dan Timur yang membawa krisis ekonomi dunia berpunca daripada membelakangkan integriti dan mengutamakan kebendaan.

“Apabila kita berada dalam pakaian yang sama (seperti mereka) maka sama-sama tersungkur walaupun ucapannya yang berdegar-degar dengan bahasa yang indah dan ini disebut oleh firman Allah Taala yang bermaksud,

‘Dan demikianlah Kami jadikan bagi  tiap-tiap Nabi itu musuh iaitu syaitan-syaitan dari jenis manusia dan jin. Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu manusia.

‘Jikalau tuhanmu menghendaki. Jika mereka tidak mengerjakan maka tinggalkanlah mereka dengan apa yang mereka ada adakan’” jelasnya memetik ayat tersebut.

Beliau berkata, Malaysia akan menerima nasib serupa kerana memakai ‘baju sama’ kerana meninggalkan prinsip petunjuk Allah, sedangkan Madani pada pakaian sahaja tidak cukup, ibarat menjaga badan dan maruah, tetapi pakaian koyak hingga menampakkan segalanya.

“(Allah berjanji) Kalau penduduk negeri itu beriman dan bertakwa mematuh petunjuk Allah, Kami bukakan kepada mereka berkat-berkat yang turun yang turun dari langit dan bumi kemudian itu datang kurnia Allah berkat usaha ilmu dan akhlak yang mulia yang dilakukan oleh kita,” beliau memetik firman Allah.

Menurutnya, meninggalkan petunjuk Allah bukan sahaja mendatangkan bencana alam, malah bencana salah laku kerajaan yang membebankan rakyat, termasuk masalah inflasi, kos sara hidup, keruntuhan moral, jenayah, rasuah dan lain-lain.

Kupasnya lagi, perkataan ‘berkat’ tidak lagi dipercayai dalam kehidupan yang meletakkan agama, ilmu dan akhlak sebagai sampingan, sebaliknya hanya berslogan seperti ‘rahmah’, ‘adil’, ‘bijaksana’, ‘tatakelola’, ‘ketimbang’ dan sebagainya.

Kejayaan peringat beliau, bukan pada slogan yang berdegar, sebaliknya mestilah dengan keimanan dan kepercayaan kepada janji Allah secara benar, bukan janji pemimpin menipu, bohong dan berlagak.

Beliau menegaskan rakyat wajib menukar kerajaan berpakaian tidak lengkap itu kerana kehilangan maruah dan hilang harga diri manusia yang dimuliakan Allah, kerana khianat terhadap amanah supaya mentadbir dunia dengan petunjuk Allah.

Beliau berkata, rakyat perlu memilih di antara dua pilihan hari ini iaitu ‘madani kebendaan’ hingga meninggalkan integriti seperti dilakukan Israel yang disokong Amerika, Eropah dan sekutu-sekutunya, atau madani paling dilupakan iaitulah ‘Madani Islami’ seperti janji Allah Ta’ala.

“Pilih antara dua madani ini. Madani yang mengutamakan integrasi atau madani yang meninggalkan integriti. Walaupun ada duit banyak, integriti tak ada. Akan bocor, akan tiris, akan kehilangan, akan habis macamlah dulu-dulu juga.

“Negara kita terus dalam keadaan negara ‘sedang membangun’ tak bangkit-bangkit. Tak jadi negara maju kalau begitunya. Jadi pilih antara dua ini,” tegasnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Presiden PAS itu turut menyifatkan masalah berlaku dalam negara ini dari Kuala Lumpur hingga ke Sabah kerana berada di bawah DAP dan Pakatan Harapan (PH) serta rakan-rakan mereka menyebabkan berlakunya jenayah memalukan dan mengerikan.

“Dari Kuala Lumpur pergi ke Sabah, berpatah balik menuju Kelantan, jangan berlumpur tersungkur rebah, lebih baik letak jawatan,” ucapnya berpantun. – HARAKAHDAILY 13/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -