Penyelesaian berasas keperluan jangan abai Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan supaya tidak mengabaikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, tegas Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).

- Advertisement -

Peringatnya, meskipun berhasrat beranjak daripada konsep penyelesaian berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan, sebarang perubahan dasar yang mengabaikan teras tersebut bukanlah penyelesaian, sebaliknya boleh bertukar menjadi penyesalan.

“Perlu difahami peruntukan dalam Perkara 153 ini adalah penting untuk memelihara keseimbangan masyarakat dan kestabilan politik. Lemahnya kumpulan majoriti dalam sosial, ekonomi dan pendidikan akan lebih memberi kesan buruk kepada hubungan antara kaum,” tegasnya.

Beliau ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini terus menegaskan bahawa dasar Bumiputera perlu dimurnikan dan diharmonikan, bukan digugurkan.

“Pemurnian bermaksud dasar ini tidak boleh dirampas segelintir elit politik yang membolot kuota, permit, projek dan tender atas nama Bumiputera. Pengharmonian pula memastikan dasar ini diperbaiki, menutup ketirisan supaya manfaat sampai kepada rakyat terbanyak,” ujarnya.

Mohd Syahir turut mempersoalkan ketiadaan komitmen khusus dalam RMK13 untuk enam negeri majoriti Melayu-Bumiputera yang sebelum ini dikategorikan sebagai negeri kurang membangun di bawah RMK12, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.

“Dalam RMK12, ada formula 50 peratus perbelanjaan pembangunan untuk enam negeri ini. Tapi dalam RMK13, komitmen ini tiada. Ini perlu diteliti semula,” katanya.

Beliau menggesa platform rundingan politik Persekutuan-Negeri diperkukuh demi mengelak jurang pembangunan semakin melebar dan dalam konteks pembangunan wilayah, menggesa dibawa projek berimpak tinggi ke negeri Kelantan dan Terengganu.

“Saya cadangkan jajaran LPT3 mengambil kira laluan asal Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui Tok Bali dan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), bagi merancakkan hab pendidikan, pertanian dan pelancongan di Bachok,” ujarnya.

Mohd Syahir turut menuntut kementerian-kementerian berkaitan agar menambah baik infrastruktur pendidikan, kemudahan pantai, jalan perhubungan desa, serta sokongan kepada petani, nelayan dan penternak di Bachok.

Mengulas strategi memantapkan pengurusan fiskal, beliau menyifatkan kejayaan RMK13 bergantung kepada kecekapan pelaksanaan dan kawalan perbelanjaan mengurus.

“Laporan Ketua Audit Negara saban tahun dedah ketirisan dan kelemahan pelaksanaan projek. Terbaru, projek kementerian berjumlah RM48 bilion terlibat. Hasill kerajaan hanya cukup untuk perbelanjaan mengurus, manakala hampir setiap ringgit pembangunan perlu dipinjam,” tegasnya.

Beliau mahu sasaran di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal menjadi keutamaan, dengan Parlimen mendapat ketelusan dalam pengurusan hutang dan defisit belanjawan.

Menyentuh isu pendidikan, Mohd Syahir mempersoalkan cadangan menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun yang katanya jika hendak dilaksanakan mesti dilakukan secara komprehensif.

“Tanpa perancangan rapi, kita berisiko melihat generasi muda tercicir dan terjebak dalam pekerjaan upah rendah. Saya fikir Kementerian tidak serius dan tidak bersedia,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu kesihatan, termasuk jumlah besar doktor dan jururawat yang meletak jawatan dalam tempoh lima tahun.

“Isu ini kritikal. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu ada pelan jangka sederhana dan panjang untuk mewujudkan sistem kesihatan yang mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.

Mengenai keterjaminan makanan, beliau membangkitkan data Banci Pertanian 2024 yang menunjukkan hampir 45 peratus pengusaha pertanian adalah warga emas.

“Usaha meremajakan sektor pertanian mesti jadi agenda strategik RMK13. Kalau tidak, kita akan kekurangan petani muda dan berdepan krisis makanan lebih parah,” tegasnya.

Mohd Syahir juga mengingatkan, masa depan negara tidak terbina hanya di koridor Putrajaya.

“Ianya terbina di bilik darjah, ladang, kilang, dan syarikat pemula. Kita tidak kekurangan bakat, tapi kurang iltizam politik untuk menukar slogan kepada tindakan.

“Jika masih terperangkap dalam politik rasuah, wang, dendam, projek Alibaba, peluang keemasan akan terlepas,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025

- Advertisement -