
KUALA LUMPUR: Semua ideologi yang memisahkan akidah dan kepercayaan kepada pahala serta dosa daripada urusan agama, akhlak, politik, ekonomi dan pengurusan kehidupan, telah memutuskan ‘mata rantai’ yang sepatutnya saling berkait.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, keadaan tersebut menyebabkan ilmu dan akhlak bukan lagi menjadi keutamaan, malah peruntukan kewangan lebih banyak dibelanjakan walaupun membebankan rakyat.
Menurutnya, jika kewangan tidak mencukupi, rakyat tetap dipaksa menanggung beban walaupun secara zalim sehingga menerima kesan kenaikan cukai dan inflasi yang menekan kehidupan mereka.
“Lebih malang dibebankan dengan hutang yang banyak, lebih malang dihinggapi penyakit dosa riba yang diharamkan (yang) diperangi oleh Allah dan Rasul. Riba tetap menjadi rukun Bank Dunia dan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) yang dijadikan kiblat ekonomi negara yang berasaskan kebendaan.
“Kini berlaku perbezaan kiblat ekonomi dan politik ke arah Washington, Bank Dunia dan IMF walaupun kiblat solat, haji dan umrah ke arah Kaabah rumah Allah di Makkah,” ujarnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tuan Guru berkata, Rasulullah SAW mengajar umatnya memohon perlindungan Allah daripada perkara yang membawa akibat buruk melalui doa, antaranya memohon dijauhkan daripada dukacita, sedih, lemah, malas, penakut, bakhil, dibebani hutang dan dipaksa oleh golongan kuat serta zalim.
Presiden PAS itu berkata, sikap terlalu menyembah kebendaan menjadikan pemerintah bakhil terhadap rakyat, khususnya dengan membatalkan subsidi wajib termasuk kepada pembangkang yang memberi nasihat, sehingga diisytiharkan ‘3R’ (Bangsa, Agama, Raja) bagi menghalang pandangan itu.
“Berhutang ke sini dan ke sana bukan (tanda) bijaksana, tapi (hanya) ‘bijak sini’ untuk (kepentingan) diri dan puaknya sahaja. Sehingga, (negara terus) berhutang dan terus berada di bawah penjajahan baharu yang diciptakan di atas nama tarif.
“Duit yang banyak dalam simpanan kita guna untuk beli pesawat. Yang untung bagi dekat BlackRock. Lepas itu (bila) tak cukup duit berhutang (lagi). Nabi menasihatkan supaya, hutang ni bahaya hutang ni memaksa kita memperhambakan diri kepada orang, memaksa kita dijajah,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











