Jadi negara menua: Kerajaan perlu buat persediaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan cabaran demografi yang membimbangkan apabila kadar kesuburan nasional terus menurun kepada hanya 1.7 anak bagi setiap wanita berumur 15 hingga 49 tahun pada 2024, jauh di bawah paras penggantian ideal 2.1 anak.

- Advertisement -

Perkara itu dibangkitkan Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Beliau berkata, trend tersebut, ditambah dengan jangka hayat rakyat yang semakin meningkat, akan mempercepatkan negara menuju status negara menua dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Kita akan menghadapi masalah negara menua sedangkan golongan muda makin berkurang apabila bilangan warga tua semakin meningkat, tetapi generasi muda untuk menggantikan mereka tidak mencukupi, tekanan akan dirasai.

“Kumpulan tenaga kerja menjadi semakin mengecil manakala tekanan terhadap cukai dan skim perlindungan sosial pula akan meningkat secara mendadak,” ujarnya.

Dr Alias menegaskan perlunya pelan tindakan pro-keluarga yang menyeluruh dan realistik, melibatkan strategi ekonomi, sosial dan perumahan, selain kajian tuntas punca penangguhan perkahwinan dan kelahiran anak di kalangan belia.

“Oleh itu untuk mendepani isu ini, sejauh mana komitmen kerajaan untuk mewujudkan satu pelan tindakan rentas kementerian yang konkrit bagi persedian Malaysia mendepani krisis negara menua kelak.

“Saya bimbang keadaan ini bakal menjadi ancaman serius kepada produktiviti ekonomi dan kestabilan sosial ekonomi negara di masa hadapan,” tegas beliau.

Mengulas isu perumahan, beliau membangkitkan kebimbangan terhadap projek terbengkalai yang terus menghantui pembeli rumah, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Menurut beliau, walaupun kerajaan menubuhkan ‘Task Force’ projek rumah swasta sakit dan terbengkalai, beliau mempersoalkan keberkesanannya dan mahu kerajaan mendedahkan jumlah projek yang berjaya diselamatkan.

“Penyelesaian projek terbengkalai tidak boleh dilihat terpisah daripada isu bekalan rumah mampu milik, ketelusan pemaju dan mekanisme perlindungan pembeli.

“Kerajaan perlu memastikan bahawa dalam mengejar sasaran pembinaan, tiada projek diluluskan tanpa penilaian kewangan dan teknikal yang ketat bagi mengelakkan projek projek yang diluluskan berakhir dengan sakit dan terbengkalai.

“Ini kerana pada akhirnya projek yang tidak dapat disiapkan mengikut perjanjian akan memangsakan rakyat yang terpaksa membayar pinjaman bank sedangkan rumah belum ada lagi,” tegasnya.

Dalam aspek kelestarian alam sekitar, beliau berkata pengurusan sisa pepejal masih jauh daripada memuaskan, kadar kitar semula rendah, tapak pelupusan hampir penuh dan menyebabkan pencemaran bau, air serta pelepasan gas rumah hijau.

Beliau mencadangkan pelaburan teknologi Waste-to-Energy dan sistem kitar semula bersepadu di peringkat PBT.

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada model pelupusan tradisional semata-mata, sebaliknya kita perlukan pelaburan teknologi ‘waze to energy’, kemudian kitar semula bersepadu dan sistem pengurusan sisa yang lebih efisien di peringkat PBT,” ujar beliau.

Di Pantai Timur pula katanya, Terengganu berdepan masalah ketiadaan kemudahan pelupusan sisa klinikal, memaksa sisa berisiko tinggi itu dihantar ke negeri lain dengan kos tinggi.

“Saya cadangkan sebuah pusat pelupusan sisa klinikal dibina di Pantai Timur demi keselamatan dan kelestarian,” jelasnya.

Dr Alias turut menuntut komitmen kerajaan terhadap beberapa projek penting di Kuala Nerus dan Terengganu termasuk pembinaan Hospital Pakar Marang dan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal bagi meningkatkan akses rawatan.

“Projek ini bukan sahaja untuk meningkatkan akses rawatan tetapi juga mengurangkan kesesakan di hospital hospital utama dan memendekkan masa menunggu pesakit,” jelas beliau.

Juga pembinaan Jambatan Buluh Gading untuk menghubungkan komuniti dan merancakkan ekonomi setempat serta Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buaya, projek perlindungan banjir demi keselamatan nyawa dan harta benda.

“Saya ingin tahu status terkini kedua-dua projek ini termasuk jadual pelaksanaan dan peruntukan yang telah diluluskan di bawah dalam RMK13,” tegas beliau.

Beliau menegaskan pembangunan di negeri Pantai Timur yang masih ketinggalan mesti dipercepatkan dengan peruntukan lebih besar.

“Saya harap keseimbangan pembangunan di negeri-negeri yang kategori miskin ini mesti dirancakkan, dilajukan kalau orang ke depan berjalan 100 kilometer (km) sejam, kita yang dibelakang harus lebih daripada 100 km.

“Maka peruntukan mesti lebih di negeri-negeri yang mundur ini, barulah satu masa kita dapat menyamai atau setara negeri-negeri yang maju di Pantai Barat, kalau tidak, sampai bila pun tetap negeri-negeri Pantai Timur ini akan ketinggalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -