
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS seluruh kawasan di Kelantan diseru mengadakan solat hajat secara serentak memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk dan penyelesaian terhadap kes tragis melibatkan Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir, 13.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, solat hajat itu juga bertujuan memohon agar kes buli dapat dihentikan sepenuhnya di negara ini.
Selain itu katanya, ia juga sebagai doa memohon kekuatan kepada ibu arwah dalam menghadapi ujian berat ini.
Dalam kenyataannya, Mohd Firdaus mencadangkan supaya satu pasukan pemantau khas diwujudkan dan diletakkan di bawah seliaan Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Langkah itu penting berikutan ketidakyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa dalam menangani kes tersebut, susulan pelbagai keraguan yang timbul,” katanya.
Beliau turut mendesak supaya pegawai penyiasat (IO) bagi kes ini segera diganti.
Menurutnya, tindakan IO ketika ini dilihat terlalu longgar, termasuk membenarkan jenazah Allahyarhamah Zara dikebumikan tanpa melalui proses bedah siasat.
“Mengikut prosedur biasa polis, kematian dalam keadaan sedemikian wajib melalui proses ‘post-mortem’ bagi memastikan punca sebenar kematian,” tegasnya.
Selain itu, Mohd Firdaus meminta agar pengetua sekolah yang didakwa bersikap lepas tangan dan tidak memberi kerjasama penuh dalam kes ini digantung tugas sehingga siasatan selesai dijalankan.
Beliau turut menyeru agar rakyat terus memberikan sokongan moral kepada keluarga arwah.
“Ini adalah ujian yang amat berat buat ibu bapa serta keluarga, dan sokongan padu rakyat amat diperlukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, pihaknya tidak mahu menuduh mana-mana pihak, sebaliknya siasatan perlu dijalankan secara telus dan adil.
Semalam proses penggalian kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berlangsung hampir dua jam dan ianya selesai pada pukul 7.15 malam tadi.
Jenazah kemudiannya dibawa keluar dari kawasan Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang di Sabah menggunakan trak polis bagi membolehkan proses bedah siasat dilakukan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Proses bedah siasat difahamkan bermula pagi tadi di mana Allahyarhamah Zara terdahulu dikebumikan pada 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
Beliau merupakan penuntut Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, Sabah.
Penggalian semula kubur dan bedah siasat tersebut dilakukan setelah mendapat perintah daripada Pejabat Peguam Negara. – HARAKAHDAILY 10/8/2025











