Air percuma: Sokong Pahang ikut jejak Terengganu

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Pahang menjenamakan semula Rebat Air Makmur (RAM) kepada Program Air Percuma Pahang 1st, yang menawarkan 20 meter padu air percuma kepada pengguna yang layak.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Pahang, Zulfadli Zakariah berkata, inisiatif tersebut seiring dengan dasar telah lama dilaksanakan di Terengganu sejak tahun 2018, apabila kerajaan negeri diterajui PAS memperkenalkan pemberian air percuma kepada golongan B40, masjid dan surau.

Menurutnya, langkah itu menjadikan Terengganu negeri pelopor inisiatif air percuma di Pantai Timur, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar kebajikan yang dilaksanakan.

“Ini adalah bukti nyata bahawa dasar PAS bukan retorik, tetapi dasar yang berjaya dilaksanakan dengan berkesan. Negeri lain, termasuk Pahang yang ditadbir oleh BN dan PH, kini mengambil ilham dan meniru pendekatan PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yakin, sekiranya PAS diberikan mandat menerajui Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16, lebih banyak dasar berkebajikan dapat diperkenalkan.

“Pemuda PAS Pahang yakin dan percaya, jika rakyat memberikan mandat kepada PAS untuk menerajui Pahang pada PRU-16 akan datang, lebih banyak lagi dasar berkebajikan dan inisiatif mensejahterakan rakyat akan dapat diperkenalkan sepertimana yang telah dibuktikan di Terengganu,” katanya. – *HARAKAHDAILY 10/8/2025*

- Advertisement -