Pondok sebagai pemangkin kebangkitan politik Islam di Malaysia

- Advertisement -

MADRASAH dan pondok sebagai institusi pendidikan Islam dalam denai sejarahnya telah menyumbang kepada ejen transformasi dalam masyarakat negara ini. Sumbangan institusi ini dalam mencerdaskan bangsa, mengikis kejahilan serta menyental saki baki asimilasi Hinduisme serta animisme dalam masyarakat Melayu serta mengobarkan semangat penegakan nilai-nilai syariah di tanah leluhur ini.

PAS wajib mengenang dan mengekalkan dukungannya kepada institusi pondok dan madrasah kerana di lahan merekalah PAS bermula serta berkembang subur menjadi penyebar diaspora fikrah perjuangan PAS. PAS digelar oleh pengkaji sains sosial seperti John Funston, Milne, Mauzy sebagai parti lebai kerana keintiman akar sejarah ini. Pemimpin Umno seperti Dato’ Seri Sanusi Junid pernah menyebut nilai emas jaringan ini sebagai 3P (padi, pondok dan PAS).

Kawasan yang subur dengan tradisi pondok ini pula terbukti menjadi kawasan yang kuat menerima pengaruh PAS. Secara tidak langsung, negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pertapakan kepada PAS dalam meluaskan sokongan massa.

Pimpinan PAS terus memanfaatkan ruang untuk mendekati guru-guru pondok kerana kedudukan guru pondok yang dihormati dalam hierarki masyarakat Melayu. Menguasai guru pondok bermakna PAS akan terus relevan kepada masyarakat, ini adalah kerana justifikasi sosial seseorang guru agama dengan kebenaran.

Di Kelantan pada zaman awal penubuhan PAS usaha-usaha terus dibuat untuk mendapatkan dukungan guru-guru pondok.

- Advertisement -

Dalam jajahan Bachok ialah Tuan Guru Muhammad, Tuan Guru Awang Padang, Tuan Guru Muhammad Zain Osman dan beberapa orang lagi tokoh ilmuan Islam. Manakala di sebelah Tumpat, Tuan Guru Sulaiman Omar, Tuan Guru Yaakob Kelong, Tuan Guru Daud Geting dan lain-lain lagi. Manakala di Jajahan Machang ialah Tuan Guru Razali Ismail dan di Pulai Chondong, Tuan Guru Wan Yusuf Che Tengah. Di Kuala Krai ialah Tuan Guru Abdul Rahman Sulaiman. Di Tanah Merah ialah Tuan Guru Nik Daud Bukit Remah. Di Pasir Puteh, Tuan Guru Muhammad di Selising, Tuan Guru Abdul Muttalib Bukit Abal, Tuan Guru Daud Bukit Abal dan lain-lain lagi.

Kejayaan PAS merengkuh sokongan kelompok agamawan pondok adalah kerana cita-cita politik Islamnya diterima oleh rakyat Kelantan, Kedah, Perlis serta Terengganu kerana rakyat negeri-negeri ini memandang tinggi tok-tok guru dan guru-guru agama yang menjadi calon-calon parti itu.

Sejak penglibatan awal PAS dalam persaingan demokrasi negara ini, pengaruh tok-tok guru ini cukup kuat pada masa itu, iaitu apabila guru-guru pondok ini memberi sokongan kepada PAS lantas rakyat juga mudah terpengaruh dan mencontohinya seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payong, Kelantan. Begitu juga dengan kemenangan Tuan Guru Ahmad Hussien pada tahun 1955 di Parlimen Krian, Perak.

Pondok telah menjadi sebahagian institusi yang penting dalam Pendidikan Islam di Alam Melayu ini termasuk di Indonesia, Thailand selain Malaysia. Pondok dan PAS telah begitu sinonim dan dikenal pasti semenjak dekad 1950-an lagi, guru-guru dan pelajar pondok telah mendukung PAS. Pandangan bahawa pondok dan tuan guru pondok telah memberikan lonjakan besar terhadap pengaruh PAS turut dipersetujui oleh tokoh veteran PAS Kelantan, Salahuddin Abdullah (2010):

“Boleh dikatakan majoriti tokoh-tokoh agama di Kelantan menyokong penuh perjuangan PAS. Mereka terdiri daripada para tuan guru yang memimpin pondok-pondok pengajian agama di seluruh negeri Kelantan dan menggunakan pengaruh mereka untuk kepentingan PAS. Antara mereka ialah Tuan Guru Abdul Ghani Kubang Bemban, Pasir Mas. Tokoh ini telah memberi sokongan padu kepada PAS dan menyebarkan konsep perjuangan PAS kepada rakan-rakan sejawatnya, tuan-tuan guru yang lain di Pasir Mas. Di Kota Bharu, Tuan Guru Abdullah Tahir, Bunut Payong begitu amat menonjol menyokong PAS meskipun sudah agak berusia. Beliau sering diwakili oleh menantunya, Tuan Guru Husin Rahimi. Di Kubang Kerian, Tuan Guru Ahmad Kenali, Tuan Guru Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar di Pondok Terusan Limbat, Tuan Guru Hasan Ketereh, Tuan Guru Ismail Perol, Tuan Guru Yusuf Padang Kala dan semua tok-tok guru institusi pondok di Kota Bharu ini menjadi penyokong PAS.”

Dalam sejarahnya, institusi pondok juga pernah mengalami kemerosotan dalam dekad 1960-an saat pengenalan SABK (sekolah agama bantuan kerajaan) oleh kerajaan untuk mengelakkan pondok menjadi sarang kepada perjuangan PAS.

Pendidikan Islam termasuk pendidikan pondok mula mendapat nafas baru apabila berlakunya kebangkitan Islam yang bersifat fenomena di seluruh dunia. Serentak dengan kesedaran untuk mengembalikan kesedaran dan kemuliaan Islam, seruan supaya Pendidikan Islam dimartabatkan kembali berlaku serentak dengan permintaan tinggi peserta-peserta kebangkitan Islam untuk mendapatkan ilmu-ilmu Islam. Sekolah-sekolah pondok di negara ini mula bertenaga kembali, bahkan mula menawarkan kemahiran teknikal yang lain seperti asas perniagaan.

Di Kelantan, dengan kemenangan PAS pada tahun 1990, menyaksikan sekolah-sekolah pondok yang sedia ada mengalami penyuburan dan rangsangan daripada kerajaan negeri. Antaranya dengan penubuhan Pusat Pembangunan Pondok, bantuan ‘one-off’, penubuhan pondok moden di Kandis, Bachok. Kelantan selepas tahun 1990 menyaksikan juga penubuhan pondok-pondok baru di seluruh negeri itu.

Di samping itu, kerajaan negeri Kelantan juga menyediakan sumbangan kepada pusat-pusat pengajian pondok. Ini dilakukan sebagai mengenangkan jasa yang telah disumbangkan oleh pusat pengajian tersebut dalam mengembangkan agama Islam. Ia juga berperanan memastikan Islam itu sentiasa terpelihara sebagai warisan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Terengganu juga menyaksikan sekolah-sekolah pondok sebagai tempat PAS berkembang. Antaranya Pondok Alur Keladi, Pondok Tok Jiring, Pondok Kuala Ibai, Pondok Losong dan beberapa buah sekolah pondok yang lain. Kerajaan PAS di Terengganu juga sepanjang pemerintahan singkatnya (1999-2004) telah mengambil usaha untuk membantu pondok-pondok tradisional yang sedia ada di negeri itu. Kerajaan negeri telah memberikan bantuan kepada pelajar pondok seperti bantuan zakat melalui MAIDAM. Beberapa buah pondok, seperti Pondok Kuala Ibai telah dibantu melalui bantuan ‘one off’ serta bantuan zakat untuk pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Begitu juga era terbaru kerajaan PAS Terengganu yang sentiasa memberikan  dokongan kepada institusi pondok dan madrasah agar terus menabur bakti dalam masyarakat.

Apabila Perdana Menteri dan kerajaan Madani mula berjinak dengan institusi pondok mutakhir ini, maka pendukung PAS jangan terlalu panik. Tan Sri Annuar Musa mengungkap pengalaman Umno suatu masa dahulu yang pernah melakukan usaha menawan hati golongan pondok namun gagal. Kelompok agamawan seperti ulama pondok ialah kelompok yang sangat cermat, mereka mempunyai pendirian tersendiri yang akhirnya tetap memberikan laba politik kepada PAS dalam pilihanraya.

Namun bagi penulis, PAS dan kerajaan negeri yang dikuasai PAS wajib terus mendekati institusi pondok dan penggeraknya. Pendukung perjuangan Islam juga wajar memahami perancangan musuh seperti Rand Corporation untuk meretakkan kesatuan ummah dengan melebarkan jurang mazhab serta manhaj. Bersatulah wahai kaum Muslimin!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi Lujnah Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (LESTARI) – HARAKAHDAILY 10/8/2025

- Advertisement -