
ISU yang menggugat kemanusiaan
Tragedi demi tragedi akibat gejala buli terus menghiris hati rakyat Malaysia.
Kita masih belum melupakan kes menyayat hati melibatkan Pegawai Kadet UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman, yang diseksa dengan 90 tekapan seterika wap sehingga meninggal dunia.
Terkini, negara sekali lagi dikejutkan dengan kematian tragis pelajar tingkatan satu, adik Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah berasrama di Papar, Sabah.
Pada 17 Julai lalu, Allahyarhamah Zara Qairina yang berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah. Sebelum itu, pada jam 4 pagi, 16 Julai, beliau ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar, sebelum dibawa ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Kes ini telah mencetuskan gelombang solidariti rakyat yang menuntut siasatan dilakukan secara adil, saksama dan telus, tanpa melindungi mana-mana pihak.
Perspektif Islam terhadap buli
Islam adalah agama yang memelihara karāmah insāniyyah (kemuliaan insan). Setiap manusia memiliki maruah yang wajib dilindungi. Allah SWT berfirman:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ
“Dan demi sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam.” (Surah al-Isra’ ayat 70)
Al-Hafiz Imam Ibn Kathir menjelaskan bahawa Allah SWT memuliakan anak Adam dengan menciptakan mereka dalam bentuk yang paling sempurna.
Manakala menurut Asy-Syahid Sayyid Qutb, manusia dimuliakan oleh Allah SWT sehingga mereka layak dinobatkan sebagai khalifah:
وكرمه بالاستعدادات التي أودعها فطرته ؛ والتي استأهل بها الخلافة في الأرض ، يغير فيها ويبدل ، وينتج فيها وينشيء ، ويركب فيها ويحلل ، ويبلغ بها الكمال المقدر للحياة .
“Allah memuliakannya (manusia) dengan anugerah kemampuan yang ditanamkan dalam fitrahnya, sehingga layak memegang tanggungjawab sebagai khalifah di bumi, mengubah dan membentuk, menghasilkan dan mencipta, menyusun dan menguraikan, serta mencapai tahap kesempurnaan hidup yang telah ditentukan.”
Oleh itu, buli sememangnya adalah perbuatan zalim yang diharamkan Islam kerana ia mencederakan, menganiaya dan merendahkan maruah insan. Allah SWT telah memberi amaran:
وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةًۭ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًۭا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًۭا
“Dan ‘Kitab-kitab Amal’juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.” (Surah al-Kahf ayat 49)
Rasulullah SAW pula memberi peringatan keras:
إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
“Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa, dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dia dicampak ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Imam Muslim no. 2581)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa kezaliman terhadap manusia termasuk membuli bukan sekadar dosa besar, tetapi juga boleh menghapuskan pahala di akhirat.
Bahaya buli: Fakta dan pandangan syariah
Kes buli di Malaysia berada pada tahap yang amat membimbangkan, bukan sahaja berlaku di sekolah menengah, malah turut menular di sekolah rendah dan prasekolah.
Antara punca utama yang dikenal pasti termasuklah keretakan hubungan antara ibu bapa dan anak, tekanan hidup yang tinggi, kurangnya pendidikan agama, serta trauma masa lalu yang membentuk sifat agresif pada sesetengah individu.
Gejala ini membawa kesan yang sangat buruk, bukan sahaja menghancurkan jiwa, emosi dan akhlak mangsa, bahkan turut merosakkan peribadi pelaku serta mengancam keharmonian masyarakat secara keseluruhan.
Dari sudut pandangan syariah, buli adalah perbuatan yang diharamkan dan boleh dikenakan hukuman di bawah kategori hudud, qisas atau ta’zir, bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan.
Enam gesaan Dewan Pemuda PAS
Bagi memastikan keadilan dalam kes Adik Zara Qairina dan menghentikan budaya buli, Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin menyokong gesaan Pemuda PAS Malaysia supaya:
1. Siasatan bebas dan telus oleh pihak polis tanpa sebarang campur tangan politik atau pengaruh pihak berkepentingan.
2. Penggantungan pelajar suspek oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sementara siasatan dijalankan, bukan sekadar pertukaran sekolah.
3. Audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah berasrama, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
4. Penghapusan budaya takut kepada senior dengan langkah disiplin tegas serta pendidikan akhlak yang menyeluruh.
5. Tindakan tatatertib terhadap pihak pentadbir yang cuba menghalang waris membuat laporan polis.
6. Penggubalan SOP aduan pelajar yang telus, memastikan aduan disalurkan terus ke PPD, JPN, dan KPM.
Penutup
Buli bukan sekadar salah laku disiplin. Ia adalah jenayah yang mencemar maruah insan, merosakkan akhlak generasi muda, dan mengundang murka Allah SWT. Mencegahnya adalah tuntutan agama dan tanggungjawab seluruh masyarakat.
Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin berdiri teguh bersama keluarga mangsa dan menyeru semua pihak berganding bahu memastikan tragedi seperti ini tidak berulang.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin
Ketua Sektor Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat – HARAKAHDAILY 10/8/2025











