Himpunan Gaza: Ramai berkumpul di Masjid Jamek

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai mula berkumpul di pekarangan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad untuk menghadiri perhimpunan ‘Malaysia Bangkit Untuk Gaza’ yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada jam 5 petang ini.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily mendapati lalu lintas berada dalam keadaan lancar meskipun cuaca hujan lebat, manakala pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Amal Malaysia turut berada di lokasi bagi memastikan kelancaran.

Perhimpunan berkenaan merupakan anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) bersama Persatuan Ulama Malaysia, dengan penyertaan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta masyarakat awam.

Selain Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, dua lagi lokasi utama yang dijadualkan sebagai tempat berkumpul ialah Masjid Negara dan Kompleks Sogo, sebelum peserta bergerak ke Dataran Merdeka.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman menasihati penganjur dan peserta untuk mematuhi semua peraturan serta undang-undang sedia ada semasa berhimpun.

Jelas beliau, peserta perlu mematuhi larangan membawa objek tajam seperti besi atau kayu, membawa senjata berbahaya seperti pisau dan parang, serta membawa atau membakar mercun, bunga api, bom asap atau suar semasa perhimpunan.

Situasi semasa di Gaza semakin meruncing selepas pihak berkuasa kesihatan mengesahkan hampir 200 penduduk, termasuk 96 kanak-kanak terkorban akibat kebuluran berikutan sekatan ketat Israel yang disifatkan sebagai kebuluran buatan manusia.

Sekatan berterusan itu memaksa penduduk yang kelaparan mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan bekalan daripada bantuan udara berisiko serta pusat pengagihan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF). – HARAKAHDAILY 9/8/2025

- Advertisement -