
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menghantar mesej jelas bahawa jenayah perang dan genosid tidak berperikemanusiaan di bumi Gaza merupakan kezaliman yang mesti dihentikan segera.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sejarah pengeboman seperti yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945 berisiko berulang sekiranya masyarakat melupakan perkara berkenaan.
“Sekarang ini yang sedang berlaku di New York, ada satu deklarasi yang dikenali sebagai ‘Declaration of New York’, mereka nak suruh HAMAS letakkan senjata, lepaskan senjata dan lucutkan senjata. HAMAS merupakan pentadbir yang sedang berada dalam Gaza.
“HAMAS telah melalui pilihan raya yang adil dan bersih. HAMAS merupakan wakil masyarakat dan rakyat Gaza. Kita nak hantar satu mesej yang jelas kepada kerajaan Malaysia hari ini, jangan perakui sepenuhnya Deklarasi New York tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada himpunan ‘Malaysia Bangkit Untuk Gaza’ yang berlangsung di Dataran Merdeka, di sini malam tadi.
Tambah beliau, Malaysia perlu menyatakan sokongan kepada penduduk Gaza dan HAMAS, sambil menegaskan bahawa tidak adil memaksa kumpulan pejuang itu yang mempertahankan negara mereka melepaskan senjata.
“Bayangkanlah jika pada zaman dahulu, kita suruh Mat Kilau letakkan kerisnya. Kalau zaman dahulu kita minta Tok Janggut untuk lepaskan prinsipnya. Itulah yang sekarang mereka (Zionis Israel) sedang lakukan.
“Kita di Malaysia ini mesti terus menghantar signal dan mesej yang jelas. Kita mesti kautkan segala kekuatan kita bahawa segala negara-negara Islam, hantar tentera pengaman ke Gaza dan Palestin.
“Masa untuk bercakap cukup, sekarang masa untuk bertindak. Masa untuk rakyat Malaysia dan masa untuk masyarakat dunia telah pun sampai. Kemenangan pasti akan menjadi milik rakyat Gaza,” tegasnya.
Setiausaha Agung MUDA, Nurainie Haziqah Shafi’i dalam pada itu menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu bangkit melawan kezaliman Zionis Israel terhadap penduduk Gaza serta memastikan suara kita didengari mereka.
“Saya merupakan seorang wanita yang paksa setiap hari diri saya melihat video-video kebobrokan yang dilakukan oleh Zionis. Setiap kali kita melihat video yang terpampang anak-anak Palestin yang tiada susu, tiada makanan, hiba hati kita, sedih.
“Lakukan apa sahaja yang anda boleh, kalau anda boleh boikot, teruskan boikot dan sehingga ke hari ini, anak-anak saya juga masih memboikot. Jangan malukan diri kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/8/2025











