
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia untuk bangkit membela rakyat Palestin, walaupun dengan usaha kecil seperti memboikot barangan yang menyokong rejim Zionis.
Berucap pada Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka semalam, beliau menegaskan kehadiran ke himpunan itu adalah atas dua sebab utama iaitu nilai kemanusiaan dan tuntutan persaudaraan Islam.
“Kita hadir kerana kita manusia yang masih mempunyai nilai kemanusiaan, yang tidak rela melihat kezaliman dan kekejaman dilakukan terhadap saudara kemanusiaan kita,” ujarnya.
Beliau menekankan, kezaliman Zionis terhadap Gaza termasuk pembunuhan kanak-kanak dan wanita, serta melaparkan rakyat, dan mengebom ketika orang mengutip makanan adalah tindakan yang tidak dilakukan oleh manusia berhati nurani.
“Kita menyaksikan hatta negara-negara Barat, rakyatnya bangkit untuk membantah walaupun itu berbeda dengan polisi yang diambil oleh kerajaan-kerajaan mereka.
“Jika rakyat di Barat boleh bangkit, jika rakyat di Eropah boleh bangkit, di Australia boleh bangkit, dukacitalah jika rakyat di negara Islam tidak boleh bangkit,” katanya lagi.
Menurutnya, walaupun ada yang memandang sinis usaha memboikot atau mengecam Israel dengan pelbagai simbol, ia tetap satu bentuk tindakan yang membuktikan manusia masih memiliki nilai kemanusiaan.
Sebab kedua katanya, adalah kerana tanggungjawab persaudaraan Islam yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak.
“Sesiapa yang boleh tidur lena, berdiam diri dan enggan memperdulikan Palestin, dia tidak layak menjadi manusia dengan kemanusiaannya, dan tidak layak menjadi Muslim dengan persaudaraan seakidahnya,” tegas beliau.
Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru semua pihak untuk melakukan apa sahaja kemampuan yang ada bagi membuktikan nilai kemanusiaan dan keimanan.
“Mudah-mudahan kita lakukanlah apa yang kita mampu bagi membuktikan kita manusia dan kita juga seorang muslim,” katanya mengakhiri ucapan. – HARAKAHDAILY 10/8/2025












