
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Karnival Sihat Milik Semua Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025 di Dewan 2020, di sini semalam.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rahimi Ismail turut hadir bersama.
Karnival anjuran Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah (YATHB) ini menjadi program sisipan sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Ia juga memperkukuh kempen kesihatan melalui Kempen Madani Afiat dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi meningkatkan literasi kesihatan masyarakat.
Program ini bertujuan mendekati rakyat secara langsung bersama pemimpin sambil mempromosikan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan penyakit.
Ia turut memberi penekanan kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan sebagai isu kesihatan awam negara.
Baginda Raja Muda Perlis turut menyempurnakan simbolik perasmian karnival dan mengurniakan hadiah utama.
Antara pengisian program ialah saringan kesihatan, khidmat nasihat pakar, pameran interaktif, perkhidmatan agensi kerajaan dan NGO, Eco Fun Run, jualan food truck dan pelbagai aktiviti santai keluarga.
Majlis ini turut dihadiri ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, serta ratusan pengunjung yang memeriahkan suasana. – HARAKAHDAILY 10/8/2025











