
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menegaskan bahawa tarif air di negeri ini masih antara yang terendah di negara ini, selain belum dikaji semula sejak 30 tahun lalu.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata demikian dalam sidang media selepas tamat Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis ke-15, di Kompleks Seri Putra hari ini.
“Tarif air negeri ni, untuk Perlis ni bukan yang tertinggi, banyak lagi negeri-negeri lain, kalau kita bandingkan dengan Selangor, saya buat perbandingan dengan Selangor kita lebih rendah sebenarnya.
“Kita dah tak kaji tarif air ini 30 tahun dah, sebab kita sebenarnya perlu mendapatkan kebenaran Kerajaan Pusat, walaupun hasil daripada permohonan kita tapi kebenaran itu daripada pihak Kerajaan Pusat,” katanya.
Namun begitu, menurut beliau, penstrukturan semula tarif yang dibuat baru-baru ini adalah ke arah memperkemaskan perkhidmatan air kepada rakyat termasuk menyelesaikan isu kebocoran dan menaik taraf infrastruktur asas.
Kerajaan Negeri juga bercadang untuk memberikan rebat bersasar kepada golongan berpendapatan rendah (B40), penerima e-Kasih serta 30,000 pengguna dengan bil minimum.
“Rebat ini salah satu rancangan kita, insya-Allah. Tapi buat masa ini kita perlu fokus selesaikan isu Non-Revenue Water (NRW) terlebih dahulu,” katanya.
Menurut beliau, walaupun peningkatan tarif air berlaku, ia perlu dilihat dalam konteks usaha untuk berdikari dan tidak hanya bergantung kepada geran Kerajaan Persekutuan semata-mata.
“Kita nak laraskan juga geran yang kita dapat daripada Kerajaan Pusat, kita tak berenti separuh jalan dengan setakat geran itu, kita juga nak berdikari, nak menyediakan perkhidmatan,” jelas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan bercadang untuk menyediakan lori pengangkutan air sendiri sebagai langkah persediaan menghadapi bencana, selain menambah baik loji-loji air lama, sistem pam dan paip usang.
“Saya rasa sepertimana yang berlaku di Timah Tasoh beberapa minggu lepas, kita mengambil masa yang terlalu lama nak dapatkan pam yang baru, ini masalah-masalah yang kita nak atasi.
“Kita tengok pengurangan 1.73 peratus NRW ni pun kita sudah dapat untung RM1 juta dengan khidmat pembaikan yang kita buat, yang kita lantik, kita lancarkan ‘we care’ itu, kita lantik 9 kontraktor sekarang ini tinggal 8, dan kita rasa perkhidmatan sudah cukup memuaskanlah,” katanya.
Menyentuh cadangan untuk pemberian air percuma seperti diamalkan di Selangor dan Terengganu, Menteri Besar menjelaskan bahawa langkah itu akan turut dipertimbangkan selepas penurunan kadar NRW dan peningkatan hasil kewangan SAP.
“Kita akan bergerak ke arah itu, InsyaAllah. Saya akan jaga kebajikan rakyat. Cumanya rakyat kena faham kedudukan kewangan SAP buat masa ni kita tak boleh bagi lagi.
“Jadi kalau sekiranya dengan kenaikkan tarif dan pengurangan NRW ini walaupun kadar kita boleh turunkan ke 30 peratus kita akan laksanakan yang serupalah,” katanya optimis.
Tambah beliau lagi, geran sebanyak RM400 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air, dan sebanyak RM160 juta kini sedang melalui proses tender bagi pertukaran paip kritikal seperti di kawasan Arau hingga Oran.
“Saya ingat kalau selesai yang tu pun sebahagian, RM400 juta ni hanya sekadar 50 peratus pertukaran paip yang selebihnya itu kita akan serah kepada kontraktorlah, cuma kita kena selesai dulu yang geran ni.
“Di samping kita buka tender untuk syarikat-syarikat untuk bekerjasama dengan SAP, kita akan buat sendiri selepas itu. Ikut fasalah, yang ini Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang buat, bukan SAP yang buat untuk yang geran ini,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, mengenai pelaksanaan sistem Parkir Pintar di Perlis, Mohd Shukri berkata ianya masih dalam tempoh penangguhan dan pengguna tidak dikenakan sebarang bayaran buat masa ini.
“Kita akan tengok balik keadaan dia macam mana dan tempat-tempat lain parking pun dia akan ikut kesesuaian dan kita akan membuat penilaian barulah kita boleh, kalau sekiranya sempurna boleh diterima oleh rakyat kita akan buka,” katanya.
Kerajaan akan menilai kesesuaian lokasi dan keberkesanan pelaksanaan sebelum membuat keputusan lanjut bagi lokasi-lokasi lain. – HARAKAHDAILY 6/8/2025











