Haramkan vape langkah tepat demi masa depan generasi

- Advertisement -

SEREMBAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan menyambut baik dan menyatakan sokongan padu terhadap usaha kerajaan negeri dalam mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape.

- Advertisement -

Ketuanya, Muhammad Irsyaduddin Mohd Fadzil berkata, langkah tegas itu mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa terhadap kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada bahaya ketagihan nikotin.

“Sebagai entiti yang komited dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan masa depan anak muda, kami melihat keputusan ini bukan sekadar bersifat penguatkuasaan, tetapi merupakan tindakan proaktif.

“Dalam melindungi rakyat daripada mudarat yang nyata. Berdasarkan dapatan semasa, statistik membimbangkan menunjukkan hampir satu daripada 10 pelajar sekolah menengah pernah mencuba vape, satu angka yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) telah mengesahkan bahaya bahan kimia dalam vape, termasuk formaldehid dan logam berat yang boleh merosakkan paru-paru dan jantung.

Tegasnya lagi, pengalaman negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS seperti Kelantan dan Terengganu yang telah melaksanakan larangan terhadap penggunaan vape jelas menunjukkan kesungguhan dalam usaha membina masyarakat yang sihat dan berakhlak.

“Kami menegaskan bahawa pencegahan melalui pendidikan dan dasar pengharaman adalah langkah strategik dan Islamik dalam membanteras ketagihan. Ini selari dengan prinsip maqasid syariah dalam menjaga nyawa dan keturunan umat manusia.

“Sehubungan itu, kami menyeru semua pihak termasuk NGO, institusi pendidikan dan para ibu bapa untuk bersama menyokong usaha kerajaan negeri dalam menjayakan dasar ini demi masa depan generasi yang lebih cemerlang, sihat dan sejahtera,” katanya. – *HARAKAHDAILY 6/8/2025*

- Advertisement -