Kerajaan negeri tetap pendirian haramkan vape

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menegaskan pelaksanaan larangan sepenuhnya terhadap penjualan dan promosi produk vape di negeri ini tetap diteruskan seperti dijadualkan bermula 1 Ogos, walaupun menerima rayuan daripada peniaga.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri telah memberikan tempoh tiga bulan sebagai ruang kepada peniaga untuk membuat persediaan, termasuk menghabiskan stok sedia ada.

“Pemakluman awal tentang pengharaman ini kita maklum dalam 3 bulan yang lepas dan kita bagi tempoh dalam tempoh tersebut untuk menguatkuasakan dan tibalah masanya 1 Ogos untuk kita mula menguatkuasakan.

“Saya mengharapkan kepada semua rakyat yang membuka kedai kedai vape di seluruh Negeri Terengganu di semua PBT daripada Besut sampai Kemaman supaya mengambil maklum tentang perkara ini.

“Tidak (boleh) lagi menjual menggunakan premis mereka untuk menjual vape dan sekiranya premis mereka masih lagi menjual vape, maka tindakan ataupun tindakan penguatkuasaan akan diadakan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengharaman tersebut melibatkan semua bentuk penjualan, pengiklanan dan penajaan oleh syarikat vape, termasuklah larangan memaparkan papan tanda berkaitan vape di mana-mana premis di seluruh negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengawal lesen premis dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana premis yang masih menjual vape selepas tarikh ditetapkan.

“Usaha ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk kita menyelamatkan generasi kita, orang Terengganu tidak kira bangsa dan agama daripada kesan vape yang semua telah kita ketahui,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -