Arah SKMM siasat Muhyiddin: Salah guna eksekutif PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan arahan terbuka Perdana Menteri kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai satu penyalahgunaan kuasa eksekutif yang jelas dan serius.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang mengarahkan SKMM menyiasat penafian dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung dakwaan kononnya mempertahankan warga asing menerima subsidi minyak.

“Tindakan Perdana Menteri ini adalah satu penyalahgunaan kuasa eksekutif yang serius, melibatkan campur tangan politik ke atas badan penguat kuasa yang sepatutnya bertindak bebas dan profesional,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata penafian oleh Muhyiddin adalah bersifat peribadi dan politik serta tidak membawa sebarang unsur ancaman, penghinaan atau komunikasi tidak wajar yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Katanya, Seksyen itu hanya terpakai ke atas penyebaran kandungan berbentuk lucah, palsu yang menyakitkan hati, mengugut atau mengganggu dan tidak meliputi penafian terhadap kenyataan politik yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

“SKMM bukan alat eksekutif dan tidak boleh diarah sewenang-wenangnya. Mengikut Seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589), SKMM hendaklah menjalankan fungsinya secara bebas dan tidak tertakluk kepada arahan mana-mana pihak, kecuali jika dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

“Maka, arahan lisan atau terbuka oleh Perdana Menteri terhadap SKMM berhubung perkara yang menyentuh pertikaian politik peribadi adalah tidak wajar dan menyalahi semangat kebebasan institusi,” tegasnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyatakan bahawa tindakan Perdana Menteri itu berpotensi melanggar Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan awam bagi mendapatkan suapan atau manfaat.

“Tindakan Perdana Menteri juga boleh dilihat sebagai mencabuli hak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai warganegara yang dijamin oleh Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak kebebasan bersuara.

“Malah, Perkara 8(1) menjamin bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang adil.

“Apabila agensi kerajaan digunakan untuk menyiasat individu atas kenyataan politik yang tidak melanggar undang-undang, maka asas keadilan dan kesaksamaan ini telah dinodai,” kupasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru SKMM memelihara kebebasan institusi dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik serta mencadangkan supaya SPRM membuka siasatan terhadap kemungkinan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri di bawah Seksyen 23 Akta 694.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen atau PAC juga dicadangkan memanggil pihak SKMM dan Pejabat Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan tentang asas dan justifikasi arahan ini.

“Hakikatnya, jika ini bukan satu salahguna kuasa, apakah lagi nama yang sesuai? Malaysia adalah negara hukum.

“Tiada siapa, hatta Perdana Menteri sekalipun, boleh bertindak sesuka hati menggunakan agensi kerajaan untuk mendiamkan musuh politiknya. Tindakan ini mesti dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -