Perdana Menteri perlu hentikan retorik politik sempit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat semalam ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu berhubung pemberian subsidi dan isu melibatkan warga asing.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, Perdana Menteri telah menuduh Ahli Parlimen Pagoh, yang juga bekas Perdana Menteri, kononnya pernah mengungkapkan hasrat untuk membela dan menjaga kepentingan warga asing.

“Tuduhan ini telah dinafikan secara tegas oleh Muhyiddin yang menyatakan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian,” ujarnya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiga perkara utama iaitu pertamanya, hujahan politik sempit yang mengelirukan rakyat dan tidak menyumbang kepada penyelesaian isu sebenar negara perlu dihentikan.

Kedua jelasnya, mengelakkan berbohong dan membuat tuduhan tidak berasas demi kepentingan politik jangka pendek yang hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan.

Ketiga tambahnya, jika benar yakin dengan tuduhan tersebut, Perdana Menteri disaran mengulangi kenyataan itu di luar Dewan Rakyat agar siasatan bebas dapat dijalankan secara menyeluruh dan tidak bersembunyi di sebalik kekebalan Parlimen.

Menurut ADUN Manjoi itu, Pemuda PAS Malaysia mengingatkan bahawa Dewan Rakyat bukanlah medan untuk menyerang individu politik dengan dakwaan palsu, tetapi medan mulia untuk membahas dasar dan menyelesaikan isu rakyat.

“Rakyat kini menuntut solusi terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial, bukan sandiwara politik yang mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab dan menyelesaikan masalah sebenar,” tegasnya.

Justeru katanya, Pemuda PAS Malaysia menggesa Perdana Menteri agar menumpukan sepenuh tenaga dan masa kepada usaha membela nasib rakyat, bukannya meneruskan budaya menyalahkan dan menuduh pihak lain.

“Fokuslah kepada rakyat, bukan kepada retorik politik yang memecah belahkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -