
KUALA LUMPUR: Pendidikan tinggi negara perlu digerakkan dengan lebih strategik dan berpaksikan aspirasi sebenar pembinaan negara, bukan sekadar mengejar angka dan statistik.
Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mempersoal tahap sebenar keberkesanan sistem pengajian tinggi yang ada sekarang serta menggesa kerajaan untuk menyenaraikan indikator objektif bagi menilai kemajuan universiti di Malaysia.
“Adakah kita sedang menyediakan pelajar untuk dunia sebenar atau sekadar mengejar ijazah demi angka semata?” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut merujuk laporan Kajian Keroai 2024, menunjukkan 66 peratus graduan menerima gaji di bawah RM2,000 dan ramai tidak bekerja dalam bidang yang mereka pelajari.
Mengulas lanjut, Dr Siti Mastura menekankan keperluan untuk pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) membuat analisa semula terhadap kursus-kursus ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilihat tidak lagi selari dengan keperluan pasaran kerja.
“Kita harus memastikan dasar pengetahuan dan pendidikan negara tidak menjadi beban, sebaliknya membantu membentuk masa depan anak muda,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan isu keselamatan wanita khususnya melibatkan gangguan seksual di Institut Pengajian Tinggi (IPT), merujuk laporan pada 20 Disember 2024 yang mendakwa seorang daripada lima penuntut Universiti Malaya pernah mengalami gangguan seksual.
“Adakah RMK13 mempunyai perancangan khusus memperkasa dasar wanita dalam menangani isu ini yang kini makin meruncing sehingga ke sekolah-sekolah?” katanya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap eksploitasi digital terhadap wanita dan kanak-kanak seperti perbuatan memalukan bentuk badan (body shaming) serta trend lucah melampau yang dilihat semakin menular di media sosial.
“Wanita dan kanak-kanak serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu dilindungi daripada jenayah siber yang semakin menggila,” tegasnya.
Dr Siti Mastura turut memohon kerajaan menyenaraikan jumlah penjawat awam dari kalangan OKU termasuk jawatan dan lokasi penempatan mereka serta sama ada sasaran minima penyertaan OKU telah dicapai.
“Kita tidak boleh abaikan sumbangan OKU yang juga tulang belakang pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut menegur ketiadaan peruntukan khas untuk memperkasa Bumiputera dalam RMK13 di mana Bumiputera bukan sekadar Melayu, tetapi juga merangkumi Orang Asli dan etnik Borneo seperti Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain.
Katanya, jika sebelum ini ada Dasar Ekonomi Baru (DEB), maka kerajaan kini harus membentangkan pelan pemerkasaan yang baharu dengan pelaksanaan yang telus dan menyeluruh, bukan sekadar catatan dalam Perlembagaan.
“Kita tidak mahu Bumiputera menjadi pengemis di negara sendiri,” katanya turut menekankan keperluan untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu di semua sektor dan menjadikannya sebagai bahasa penyatuan nasional sebagaimana dilakukan oleh Indonesia.
Dalam aspek perumahan pula, beliau mencadangkan peluasan inisiatif FELDA ke kawasan bandar agar Bumiputera tidak hanya tertumpu kepada sektor pertanian tetapi terlibat dalam pembangunan ekonomi bandar.
“FELDA dahulu untuk pertanian, sekarang kita perlu FELDA bandar, selari dengan dasar ekonomi semasa,” cadangnya.
Beliau turut mengemukakan syor supaya Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, diteruskan dalam RMK13.
“Program ini terbukti berjaya memperkasa PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) dan industri kecil terutama di Kepala Batas,” katanya.
Menekankan isu miskin bandar beliau berkata, projek perumahan seharusnya memfokuskan kepada keperluan rakyat dan bukan sekadar memenuhi kehendak pasaran.
Beliau merujuk insiden pengusiran penghuni program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Pulau Pinang sebagai contoh krisis hak kediaman rakyat yang perlu ditangani secara serius.
“Miskin bandar bukan malas bekerja, tetapi kerana kos hidup tinggi dan tiada akses rumah mampu milik,” jelasnya.
Beliau turut menyentuh tentang hala tuju Islam dalam RMK13 yang seharusnya menjadi acuan dalam membina negara madani sebenar.
“Islam bukan slogan, tetapi amanah yang perlu dilaksana sebagai penimbang nilai sejagat,” tegasnya.
Beliau menegaskan pendirian menolak sekeras-kerasnya normalisasi budaya songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam dan nilai kemanusiaan sejagat.
“RMK13 jangan jadi alat memperkayakan segelintir elit, sebaliknya harus kembali kepada rakyat dan Islam sebagai panduan dasar,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/8/2025











