
KANGAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini sekali lagi meluluskan usul khas yang mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Usul dibentang Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli itu merupakan kali ketiga berturut-turut dibawa dalam Sidang DUN, sebagai tanda konsisten dan tegasnya solidariti Kerajaan Negeri Perlis terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Saya bangun mengemukakan usul yang berbunyi, bahawa Dewan yang mulia ini menzahirkan pendirian membantah sepenuhnya kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin,” kata beliau dalam Sidang DUN di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.
Jelas beliau, konflik yang berlarutan menyaksikan puluhan ribu rakyat Palestin yang tidak berdosa terbunuh, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.
“Dalam serangan ini direkodkan seramai 60,839 orang terkorban dan 149, 588 lagi cedera,” ujar beliau.
Menurut Shukri (PN-Sanglang), dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, sebanyak 119 nyawa telah terkorban, manakala 866 lagi cedera akibat serangan udara Zionis Israel.
“Ini bukan sekadar konflik ketenteraan. Ini adalah jenayah kemanusiaan. Ini adalah penjajahan sistematik dan pembersihan etnik yang dilakukan terhadap rakyat Palestin yang hanya mahu hidup bebas dan bermaruah di tanah air mereka sendiri,” tegas beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Perlis.
Menteri Besar turut mencadangkan lima langkah utama sebagai manifestasi tindakan, iaitu membantah keras segala bentuk kekejaman dan penindasan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
Juga menggesa Kerajaan Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, dan masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas melalui saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa.
Selain menggesa negara-negara jiran Palestin seperti Jordan, Mesir, Syria dan Lubnan supaya membuka pintu sempadan bagi keselamatan dan kemanusiaan, menyatakan solidariti padu melalui program kesedaran, penerangan dan syarahan umum kepada rakyat.
Beliau turut menyeru rakyat Perlis dan Malaysia agar bersatu membantu Palestin dengan sumbangan berterusan serta meneruskan bacaan Qunut Nazilah di masjid-masjid negeri.
“Allahuakbar! Hancurkan Israel! Hidup Palestin!” laung beliau disambut sokongan penuh oleh semua Ahli Dewan.
Sidang DUN turut menyaksikan sokongan sebulat suara terhadap usul tersebut sebagai tanda keprihatinan dan pendirian teguh Kerajaan Negeri dan rakyat Perlis dalam mempertahankan keadilan dan hak rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 6/8/2025











