
KANGAR: Pelaksanaan sistem Smart Parking di bandar ini bukanlah keputusan tergesa-gesa, sebaliknya hasil evolusi panjang yang bertujuan menambah baik kecekapan dan ketelusan sistem parkir di negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil menjelaskan, sistem terdahulu seperti parkir berkupon telah terbukti menyumbang kepada ketirisan hasil dan kelemahan penguatkuasaan disebabkan kekangan tenaga penguat kuasa Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
“Ketirisan ini antara lain berpunca apabila ramai pengguna kita yang gagal ataupun sengaja tidak mahu menjelaskan kompaun ini, jadi timbul isu tersebut menyebabkan berlaku ketirisan yang amat banyak.
“Terdapat juga pengguna kita yang meletakkan kenderaan itu tanpa membeli kupon, atau pun mereka letak kupon yang sudah digunakan sebelum ini.
“Kerana itu kita melihat bahawa corak kehadiran anggota penguat kuasa dalam mengambil tindakan dari itu adalah menjadi satu kekangan dalam membuat operasi memandangkan anggota penguat kuasa kita dalam bilangan yang terhad,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika sesi soal jawab lisan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.
Menurut beliau, Smart Parking merupakan pendekatan berteknologi tinggi yang menggabungkan sistem pengecaman nombor plat kenderaan (ANPR) dan kawalan ‘bay lock’ automatik, sekali gus menyokong aspirasi ‘Perlis Go Digital’ dan hala tuju ke arah Bandar Pintar (Smart City).
Namun begitu, beliau mengakui bahawa kelemahan dalam aspek penerangan dan libat urus awal telah menyebabkan isu ini menjadi polemik dan tular, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Apa yang disampaikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat semalam adalah satu perkara yang amat menarik perhatian dan juga menyentuh hati seluruh pihak kita, sama ada pihak pembangkang dan juga pihak kerajaan serta rakyat.
“Sebab itu pada 9 Julai yang lalu Menteri Besar sendiri telah mengumumkan penangguhan sementara berkaitan sistem ini untuk kita nilai semula dan pastikan bahawa penerangan dapat dijalankan dengan lebih baik.
“Kita telah maklumkan kepada pihak MPK dan syarikat yang terlibat dan masing-masing telah meletakkan satu konsensus, kefahaman untuk menggerakkan tindakan bagi memastikan proses ini berjalan dengan baik,” jelas beliau.
Berdasarkan data sepanjang pelaksanaan awal menurut beliau, dari 16 Mei hingga 30 Jun 2025, sebanyak 43,639 kenderaan telah direkodkan menggunakan sistem ini, dengan purata harian sebanyak 3,637 kenderaan.
Daripada jumlah itu 37,033 kenderaan menggunakan tempoh percuma 15 minit dan 29,929 akaun pengguna didaftarkan, dengan 17,237 pengguna aktif, 847 transaksi dilakukan melalui 12 ejen berdaftar dan 539 pengguna melanggan pas bulanan atau tahunan.
Beliau turut menyeru semua Ahli Dewan termasuk wakil pembangkang agar bersama-sama memberi penerangan yang betul kepada rakyat, bukan menambah kekeliruan.
“Kita sedar masih ramai yang belum mahir menggunakan aplikasi mudah alih. Justeru, kita lantik ejen di lokasi tertentu untuk bantu mereka buat bayaran. Bagi yang masih belum bersedia secara digital, kita beri pilihan,” tambah beliau.
Sementara itu jelas beliau, jumlah yang membuat transaksi pembayaran ialah sebanyak 6,006 buah kenderaan, bersamaan dengan 551 kenderaan berbayar setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
Asrul (PN-Kayang) turut menegaskan bahawa hasil kutipan daripada sistem ini boleh disalurkan semula untuk membina infrastruktur seperti tempat letak kereta bertingkat, bagi mengatasi isu kesesakan dan kekurangan parkir di kawasan tumpuan.
“Kalau kita lihat negeri-negeri lain pun sudah lama laksanakan sistem parkir berbayar. Kita di Perlis agak ketinggalan. Maka kita kena ke depan, tetapi dengan pendekatan yang mendidik, bukan mendesak,” katanya.
Menurut beliau, sistem Smart Parking ini turut disokong dengan sistem CCTV bersepadu yang akan membantu aspek pemantauan keselamatan tanpa kos tinggi pemasangan kamera secara berasingan.
“Kita sudah berjaya dengan pelaksanaan pembayaran digital di kedai, pasar malam dan gerai. Ini bukti rakyat Perlis sudah bersedia, cuma perlu bimbingan dan penerangan yang lebih terancang,” tegasnya.
Beliau berharap pelaksanaan semula sistem ini selepas penambahbaikan nanti akan dapat diterima baik oleh rakyat, seterusnya menjadi pemangkin kepada matlamat menjadikan Perlis sebagai negeri digital yang progresif dan berdaya saing.
Sebelum itu Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) dalam soalannya bertanyakan langkah-langkah penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan oleh pihak kerajaan berhubung sistem parkir berbayar? – HARAKAHDAILY 6/8/2025











