
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa institusi keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam memelihara nilai adat dan adab dalam kehidupan masyarakat.
Titah baginda, ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anak dan mendidik mereka sejak kecil dengan penghayatan terhadap adat istiadat dan peradaban Melayu Islam.
“Dengan kekuatan institusi kekeluargaan, kita dapat memastikan adat, budaya dan peradaban bangsa terus diwarisi dan dipelihara dengan baik oleh generasi akan datang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ariffin, Padang Katong, di sini baru-baru ini.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakandanya, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada 30 orang asnaf anak kariah Padang Katong, dengan setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM700, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM21,000.
Program Hijrah Minda menjadi salah satu wadah penting dalam menyantuni rakyat serta memperkukuh nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Ia juga membuktikan komitmen MAIPs di bawah kepimpinan Tuanku Raja Muda Perlis dalam memperkasakan kesejahteraan ummah.
Ia juga menjadi manifestasi usaha berterusan dalam memperkasakan komuniti melalui pendekatan berjiwa rakyat yang berteraskan keprihatinan dan kasih sayang. – HARAKAHDAILY 6/8/2025











