Kandungan porno tidak disekat SKMM di media sosial

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dinasihati tidak ghairah menyekat kandungan media sosial yang cenderung kepada pembangkang, selain menganggap ianya mengancam keharmonian masyarakat.

- Advertisement -

Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, pada masa sama bahan berkaitan pornografi tidak disekat dan terus berleluasa sehingga mempengaruhi remaja untuk terjebak dalam aktiviti seks bebas.

Beliau berkata, kekurangan pemantauan SKMM terhadap kandungan tersebut menyebabkan ibu bapa semakin sukar mengawal anak-anak mereka yang menjadi punca peningkatan kadar penyakit HIV dikalangan golongan itu.

“Lebih malang 44 peratus dari 135,035 kes HIV sejak 2023 disumbang individu berusia 20 hingga 29 tahun, hampir separuh anak muda, bagaimana masa depan negara, apa nasib negara kita jika ini tidak dibendung.

“Saya memohon SKMM bukan hanya bertindak kepada orang yang menentang kerajaan diambil dan disiasat, tetapi diwaktu yang sama, nilai-nilai yang boleh merosakkan ini perlu diberi perhatian yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13) dalam tempoh lima tahun, bermula pada tahun 2026 sehingga 2030 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim merangkap Timbalan Presiden PAS turut membangkitkan persoalan mengenai perubahan iklim dan kenaikan suhu global yang diakui mempunyai kesan yang ketara terhadap kejadian bencana banjir.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan melalui agensinya termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu mengambil sikap berterus-terang terhadap sebarang prospek projek perumahan yang bakal dibina kelak.

Menurutnya, kini banyak kawasan sudah dibangunkan dengan projek perumahan, bahkan ada lokasi berisiko untuk berlaku banjir yang perlu dimaklumkan terlebih dahulu rakyat juga pembeli hartanah tersebut.

“Kerajaan ada data projek ini risiko dia sejauhmana, perkara ini tidak pernah dimaklumkan kepada pembeli, menyebabkan pembeli berdepan dengan masalah selepas dibeli aset berdepan risiko banjir dan seumpamanya.

“Saya cadangkan agar kerajaan berterus terang bukan hanya menjaga pemaju yang mengaut keuntungan tetapi pada pembeli supaya mereka tahu risiko suatu projek, agar rakyat tidak masalah bila beli aset,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -