Generasi Solat benteng hadapi cabaran zaman

- Advertisement -

KUBANG PASU: Cabaran dunia moden hari ini amat besar, dengan pengaruh gajet dan hiburan melampau yang menjadikan anak muda semakin lalai terhadap perintah agama, kata Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, program Generasi Solat diadakan sebagai usaha membina benteng pertahanan iman dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah dengan cabaran.

“Saya juga menyeru kepada para peserta agar jangan berhenti di sini. Teruskan menjaga solat lima waktu dan meningkatkan kualitinya, serta sebarkan ilmu yang diperoleh kepada rakan-rakan dan keluarga,” ujarnya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Generasi Solat Kohort Pertama yang berlangsung di Surau Ar-Rahmaniyyah, Kampung Nongka, di sini semalam.

Jelas beliau, solat bukan hanya sekadar gerakan fizikal semata-mata, tetapi merupakan satu bentuk komunikasi hati dengan Allah SWT yang menurutnya, jika solat dijaga dengan baik, maka akhlak dan disiplin dalam kehidupan seseorang juga akan turut terjaga.

Tambah beliau lagi, solat merupakan kunci kejayaan dan ramai dalam kalangan manusia tidak berjaya kerana meninggalkannya dan solat adalah perkara amat sukar untuk dilaksanakan kecuali ada kekuatan dalaman yang kuat.

“Didiklah anak dengan agama, mereka terbang tinggi mana pun dia akan kembali kepada asas kehidupan sebagai seorang manusia yang bertakwa,” katanya lagi.

Program Generasi Solat merupakan satu inisiatif yang digerakkan bagi membentuk generasi mengutamakan solat sebagai tiang agama, asas pembentukan peribadi, serta kunci kepada kejayaan di dunia dan akhirat.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil tersebut disempurnakan oleh Siti Ashah selaku pemegang portfolio yang bertanggungjawab dalam pembangunan insan negeri Kedah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad. – HARAKAHDAILY 6/8/2025

- Advertisement -