
KUALA TERENGGANU: Pasar Payang bakal beroperasi sehingga jam 12 tengah malam bagi memenuhi permintaan pengunjung dan memberikan peluang pendapatan lebih kepada para peniaga.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, cadangan itu melibatkan kedua-dua lokasi Pasar Payang 1 dan 2, dengan pelaksanaan awal dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi.
“Pagi ini saya turun membuat tinjauan di Pasar Payang 2. Saya sempat ziarah dari kedai ke kedai dan melihat sendiri keceriaan para peniaga. Alhamdulillah, mereka menyatakan perniagaan berjalan lancar, ada yang sudah berniaga lebih 30 hingga 40 tahun dan diwarisi anak cucu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Walkabout beliau bersama Peniaga-Peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Bendera Malaysia sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, di sini hari ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Pasar Payang 2 menempatkan pelbagai kategori peniaga termasuk pasar basah, daging, barang kering dan kedai makan.
“Selama ini, operasi hanya sehingga jam 6 petang. Namun, berikutan permintaan yang semakin meningkat, saya telah berpakat dengan Datuk Bandar supaya pasar dibuka sehingga jam 12 malam. Fasa pertama kita cadang buka pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.
Dalam lawatannya yang turut disertai Datuk Bandar, Dato’ Jusman Ibrahim itu Razali berkata, pihaknya melalui Unit Pelancongan akan menyediakan pencahayaan tambahan bagi menarik lebih ramai pelancong, terutama dari luar negeri.
“Kita cadang buka kedua-duanya. Hari ini kita sempat ke Pasar Payang 2 dahulu dan majoriti peniaga di sini bersetuju. Saya yakin peniaga di Pasar Payang 1 juga akan menyokong cadangan ini,” katanya.
Razali berkata, kerajaan negeri juga bercadang mengadakan persembahan kebudayaan secara berkala di Pasar Payang bagi menambahkan lagi daya tarikan kepada pengunjung.
“Kita telah bincang dengan Datuk Bandar untuk terapkan elemen kebudayaan seperti persembahan lagu-lagu tradisional Terengganu, makanan warisan dan pelbagai nilai budaya negeri ini. Kita ada lebih 70 jenis makanan tradisional yang boleh diketengahkan kepada pelancong,” jelasnya.
Mengulas mengenai sambutan bulan kemerdekaan, Razali berkata, pihaknya turut mengambil kesempatan untuk mengagihkan bendera kepada peniaga sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotik.
“Kita nampak peniaga memang faham pentingnya semangat kemerdekaan. Tapi ada juga bendera yang sudah koyak dan uzur, tidak diturunkan atau diganti.
“Dalam hal ini, kita mulakan dengan nasihat dan memberi pendidikan. Kalau masih degil, baru kita ambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab menjaga imej premis termasuk pemasangan bendera yang sempurna harus dipikul oleh setiap peniaga demi mencerminkan semangat kemerdekaan dan imej negeri bersih serta mesra pelancong.
“Pemasangan bendera bukan hanya untuk bulan Ogos. Kalau koyak atau lusuh, memang kena tukar. Ini arahan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/8/2025











