25 Tahun Raja Muda Perlis: Takrim penuh erti

Lambang dedikasi tanpa jemu

- Advertisement -

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, diraikan dalam satu majlis penuh penghormatan sempena Takrim 25 Tahun Pemasyhuran baginda sebagai Raja Muda Perlis, yang diadakan di Mess Pegawai Kanan PDRM, Jalan Raja Muda, di sini semalam.

- Advertisement -

Majlis yang berlangsung bersempena Muzakarah Hala Tuju Hal Ehwal Agama Islam Perlis 2026–2030 itu menjadi simbol penghargaan terhadap jasa dan kepimpinan baginda selama dua dekad setengah.

Tempoh Jubli Perak itu sarat dengan sumbangan dalam memartabatkan agama, menyantuni rakyat dan membina negeri yang sejahtera.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), takrim ini menzahirkan pengiktirafan atas keutuhan komitmen baginda dalam memimpin, membimbing dan menyemai nilai keadilan serta keberkatan dalam pembangunan ummah.

Tuanku Syed Faizuddin dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perlis pada 12 Oktober 2000 di Balairong Seri, Istana Arau, setelah ayahanda baginda, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 16 April tahun yang sama.

Sejak itu, baginda turut menggalas tanggungjawab sebagai Yang Dipertua MAIPs dan menjadi tonggak kepada pelbagai agenda pemerkasaan institusi Islam di negeri ini.

Dalam tempoh 25 tahun, baginda telah mencorakkan hala tuju MAIPs dengan mengangkat pengurusan zakat dan wakaf secara strategik, menjadikan masjid sebagai pusat komuniti, serta membangunkan pelbagai program kebajikan dan pemberdayaan ekonomi asnaf.

MAIPs di bawah teraju baginda kini muncul sebagai model pentadbiran Islam negeri yang progresif dan dihormati hingga ke peringkat antarabangsa.

Tidak terhenti dalam lingkungan negeri, peranan baginda turut melangkaui sempadan apabila mengetuai misi kemanusiaan ke Kenya dan Rwanda, menjalin kerjasama pendidikan Islam global sebagai medium menyemai nilai Islam yang sejahtera dan rahmah.

Majlis turut diserikan dengan persembahan Ungkap Kata Puji Mahkota (حملة المدحِ), sebuah puisi tiga bahasa yang menjadi simbol kesetiaan dan doa rakyat kepada institusi Raja.

Karya ini disusun oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dengan dukungan penyelidikan oleh Dr Hazman Hassan, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, Prof Madya Dr Mohd Akram Dahaman dan Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.

Dalam titah sempena muzakarah, Tuanku Raja Muda menegaskan iltizam untuk memperkukuh hala tuju hal ehwal Islam negeri bagi tempoh 2026–2030 dengan pendekatan bersepadu, berimpak dan diberkati, demi menjadikan Perlis negeri yang harmoni, berilmu dan sejahtera.

Majlis Takrim ini bukan sahaja mengimbau perjalanan 25 tahun kepimpinan baginda, malah menjadi manifestasi ikrar untuk meneruskan perjuangan berasaskan keberkatan, keadilan dan kesejahteraan ummah, seiring doa agar kepimpinan baginda sentiasa diberkati Allah SWT. – HARAKAHDAILY 3/8/2025

- Advertisement -