Kapal layar karam bukan akibat ribut, tapi kecuaian

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kejadian kapal layar karam di perairan Terengganu baru-baru ini bukan berpunca daripada ribut, sebaliknya akibat kecuaian penumpang yang tidak mematuhi arahan kapten kapal.

- Advertisement -

Datuk Razali Idris berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh kapten kapal warga Turkiye yang menetap di Australia, semasa lawatan beliau ke lokasi kejadian dua hari lalu.

“Dua hari lepas saya pergi melawat dan berbual dengan kapten serta seorang penumpang kapal tersebut. Seorang lagi tak jumpa sampai sekarang. Saya nak bagitahu bahawa kapal layar itu bukan dipukul ribut.

“Menurut kapten, masalah berlaku apabila salah seorang penumpang membuka tingkap kapal meskipun sudah diberi arahan supaya tidak berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Walkabout beliau bersama Peniaga-Peniaga Pasar Payang dan Majlis Agihan Bendera Malaysia sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri itu turut disertai Datuk Bandar, Dato’ Jusman Ibrahim.

Menurut beliau, tingkap dibuka dipercayai kerana penumpang berasa panas memandangkan sebelum ini mereka tinggal di kawasan musim sejuk, namun tindakan itu menyebabkan air laut memasuki ruang kapal sehingga menyebabkan ia karam.

“Ketika kejadian, ombak di perairan Terengganu sangat kecil jika dibandingkan dengan laut di Australia. Kapten itu turut memuji laluan Pantai Timur kerana memberikan angin yang sangat sesuai untuk pelayaran.

“Bagaimanapun, tindakan membuka tingkap menyebabkan air masuk dan pam air tidak cukup kuat untuk membuang air keluar. Itu punca sebenar kapal karam, bukan ribut,” katanya.

Razali berkata, kapten kapal mampu bertahan selama 43 jam, manakala seorang lagi ditemui selepas 24 jam terapung.

“Kapten itu sebenarnya dalam misi pengembaraan dari Australia ke Asia. Beliau merancang untuk singgah di Pulau Tioman, Pulau Redang dan seterusnya ke Patani, Thailand sebelum mengelilingi Laut Andaman dan kembali ke Australia.

“Beliau agak terkilan kerana tidak sempat melihat keindahan Pulau Redang yang sangat ingin dikunjunginya. Katanya, dia sudah banyak membaca tentang pulau-pulau indah di Terengganu seperti Pulau Tenggol,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Razali berkata, kerajaan negeri akan membantu urusan dokumentasi mangsa, termasuk pasport dan kewangan yang hilang, sebelum menghubungi kedutaan untuk tindakan susulan.

“Saya sempat memberikan hadiah berupa seluar dan baju batik Terengganu kepada mereka. Alhamdulillah, mangsa yang mengalami sedikit komplikasi buah pinggang kini dilaporkan stabil,” katanya.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, sebuah kapal layar yang membawa dua warga Turkiye karam di perairan Terengganu.

Seorang daripada mangsa ditemui nelayan berhampiran Pulau Yu, kira-kira tujuh batu nautika dari lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 3/8/2025

- Advertisement -