
TAHUN 2025 menjadi amat bermakna buat negeri Kedah apabila bukan sahaja diangkat sebagai negeri pelancongan sempena sambutan Tahun Melawat Kedah, tetapi juga menjadi tuan rumah kepada salah satu acara terbesar dalam kalendar tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), iaitu Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71.
Penganjuran muktamar kali ini yang akan berlangsung dari 11 hingga 16 September 2025 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, bukan sahaja mencerminkan kedudukan istimewa negeri ini dalam perjuangan PAS, malah menandakan kematangan struktur dan jentera parti di peringkat negeri.
Buat kali keenam dalam sejarahnya, PAS Kedah sekali lagi diberikan amanah besar untuk menjadi hos kepada perhimpunan tahunan ini yang bukan sekadar melibatkan aspek pentadbiran, tetapi melambangkan penyatuan fikrah, kekuatan ukhuwah serta menjadi medan muhasabah dalam mendepani cabaran politik tanah air.
Bermula dengan Muktamar Pemuda PAS Pusat pada 11 dan 12 September, diikuti Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat pada 13 dan 14 September, dan diakhiri dengan Muktamar PAS Pusat pada 15 dan 16 September, keseluruhan acara ini dijangka menghimpunkan ribuan ahli, perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.
Penganjuran muktamar kali ini lebih istimewa kerana ia diadakan di Kompleks PAS Kedah yang kini berdiri megah di Kota Sarang Semut.
Kompleks lima tingkat setengah ini bukan sekadar struktur fizikal, tetapi menjadi simbol kepada ketekunan, kesabaran dan semangat gotong-royong ahli-ahli PAS yang menyumbang dengan penuh keikhlasan.
Salah satu kempen pengumpulan dana yang menjadi tulang belakang kepada pembinaan kompleks ini ialah kempen ‘tabung buluh’ satu inisiatif akar umbi dengan berjaya menggerakkan seluruh ahli dan penyokong untuk menyumbang hanya RM0.50 sehari, atau lima kupang, dengan penuh istiqamah.
Walaupun kecil pada nilainya, sumbangan itu akhirnya membuahkan hasil luar biasa apabila dikumpulkan secara konsisten dari segenap pelusuk negeri.
Ia membuktikan bahawa kekuatan sebenar sesebuah gerakan bukan terletak pada kehebatan dana besar semata-mata, tetapi pada keikhlasan dan keazaman kolektif rakyat marhaen yang mencintai perjuangan Islam.
Dianggarkan kos keseluruhan pembinaan kompleks ini mencecah RM8 juta, suatu jumlah yang besar, tetapi tidak mustahil apabila seluruh jemaah istiqamah menyumbang saban hari.
Kini, dengan berlangsungnya Muktamar PAS Pusat di kompleks tersebut, ia menjadi bukti bahawa hasil usaha kolektif tidak akan sia-sia jika dilakukan dengan penuh iltizam dan semangat kebersamaan.
Melihat kepada sejarah Pejabat Perhubungan PAS Kedah, ianya telah melalui pelbagai fasa yang mencerminkan pertumbuhan struktur dan semangat organisasi parti.
Ia bermula secara sederhana pada tahun 1957 di Madrasah an-Nahdzah, Pondok Pak Man Bukit Besar yang dipimpin oleh Tuan Guru Osman al-Yunusi. Madrasah ini berperanan sebagai pusat pentadbiran awal dan tempat bermesyuarat ahli PAS ketika itu.
Selepas itu, pejabat berpindah ke sebuah rumah di Pekan Guar Chempedak, kemudian ke Telok Wanjah sekitar 1968, dan seterusnya ke bangunan tiga tingkat di Jalan Kota Setar pada tahun 1976 hasil sumbangan ahli serta masyarakat dan dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS ketika itu, Dato’ Muhammad Asri Muda.
Tahun 2006 menjadi titik penting apabila PAS Kedah mula menggunakan Kompleks PAS Kedah sebagai pusat tetap, dengan Muktamar PAS ke-52 menjadi muktamar pertama yang diadakan di premis milik sendiri di bawah kepimpinan almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Sejak itu, kompleks ini menjadi nadi utama pentadbiran dan perjuangan PAS di negeri Darul Aman. Selain muktamar di Kompleks PAS, beberapa acara penting lain turut dijadualkan pada tarikh yang sama.
Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat akan diadakan di Darul Hadis, Kampung Tok Keling, Alor Setar, manakala Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pula dijadualkan berlangsung di Gandhi Hall, Sungai Petani. Lokasi bagi Konvensyen Sidang As-Sabiqun masih dalam proses dimuktamadkan setakat ini.
Penganjuran muktamar selama enam hari ini bukan sekadar satu acara tahunan yang rutin, tetapi ia merupakan medan muhasabah, perancangan dan penegasan hala tuju perjuangan Islam dalam konteks politik semasa.
Ia juga medan untuk memperkukuh solidariti, memperkemas organisasi serta menyuntik semangat baru dalam mendepani PRU ke-16.
Dalam masa yang sama, muktamar ini turut dijangka memberi impak positif kepada ekonomi dan sektor pelancongan Kedah. Kehadiran ribuan perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara sudah pasti meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan, pengangkutan serta produk-produk tempatan.
Hotel dan rumah inap di sekitar Kota Sarang Semut, Alor Setar dan kawasan sekitarnya dilaporkan telah menerima tempahan awal, menunjukkan betapa besarnya impak acara ini kepada ekonomi setempat.
Para peniaga kecil dan sederhana turut berpeluang meraih manfaat melalui gerai jualan dan penyediaan perkhidmatan berkaitan.
Muktamar kali ini bukan sahaja akan menilai pencapaian lepas, malah lebih penting lagi, ia bakal merangka peta perjuangan masa depan dalam landskap politik yang semakin mencabar.
PAS bukan sahaja perlu kekal sebagai parti pembawa agenda Islam, malah mesti terus menampilkan imej sebagai gerakan yang memperjuangkan keadilan, kebajikan dan kestabilan negara.
Sebagai tuan rumah, PAS Kedah menerima amanah besar ini dengan penuh iltizam. Dengan kepimpinan yang mantap dan ahli yang bersatu hati, Kedah sekali lagi bakal membuktikan bahawa ia adalah antara nadi penting gerakan Islam di Malaysia.
Maka dengan berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di bumi Darul Aman ini, diharapkan ia menjadi suluh yang menyala menerangi perjalanan perjuangan Islam, mengukuhkan saf dan menyebar rahmat buat seluruh rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/8/2025











