
ALOR SETAR: PAS Negeri Kedah menyatakan kesediaan penuh untuk menjadi tuan rumah bagi Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-71 yang dijadual berlangsung bertempat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini dari 11 hingga 16 September depan.
Penganjuran kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila semua muktamar sayap parti iaitu Dewan Pemuda, Dewan Muslimat serta Muktamar PAS Pusat akan berlangsung serentak di kompleks berkenaan.
Manakala Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Konvensyen Sidang As-Sabiqun akan diadakan di lokasi berasingan.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ini merupakan kali keenam PAS Kedah diberi amanah menganjurkan muktamar parti dan kali ketiga diadakan di Kompleks PAS Kedah.
“Muktamar kali ini sangat signifikan dalam konteks politik tanah air. Kedah bersedia menjadi titik tolak kepada persiapan PAS dalam misi mentadbir negara pada pilihan raya akan datang. Kita ingin membina sebuah politik yang matang, sejahtera dan berkebajikan,” ujarnya.
Menurut beliau, sejarah lampau muktamar yang dianjurkan di Kedah memperlihatkan perkembangan penting dalam perjalanan politik PAS.
Muktamar kali ke-52 pada tahun 2006 di Kompleks PAS Kedah berlangsung dua tahun sebelum PAS mengambil alih pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak.
“Kemudian pada tahun 2017, PAS Kedah sekali lagi menjadi tuan rumah untuk muktamar ke-63 ketika PAS membina gagasannya yang tersendiri iaitu Gagasan Sejahtera.
“Muktamar terakhir yang kita anjurkan ialah pada 2022 ketika PAS merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan mentadbir negeri ini di bawah pimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor,” jelasnya.
Tambah beliau, penganjuran tahun ini juga bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Kedah 2025 dan diyakini mampu merancakkan lagi sektor pelancongan serta ekonomi setempat.
“PAS Kedah berbesar hati menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke Kompleks PAS Kedah sepanjang tempoh Muktamar berlangsung.
“Pelbagai acara, pameran serta jualan disediakan kepada para pengunjung,” katanya yang juga Ketua Ulamak PAS Pusat.
Beliau turut berharap agar muktamar kali ini menjadi pemangkin untuk menyemarakkan perjuangan Islam di bumi Jelapang Padi serta membuka lembaran baru buat PAS dalam memimpin rakyat dan negara ke arah yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 3/8/2025











