Hukum mualaf ziarah kubur ibu bapa

- Advertisement -

Soalan:

Adakah seorang muallaf boleh ziarah kubur ibu bapanya yang tidak memeluk Islam?

- Advertisement -

Jawapan:

Harus hukumnya seorang Islam pergi ke tanah perkuburan bukan Islam kerana ziarah kubur ibu bapanya atau kaum kerabatnya atau sahabatnya.

Berkata Imam Nawawi:

ويجوز للمسلم اتباع جنازة قريبه الكافر وأما زيارة قبره (فالصواب) جوازها وبه قطع الا كثرون

Ertinya: “Dan harus bagi orang Islam mengikut jenazah keluarganya yang kafir. Dan adapun ziarah kuburnya maka yang betul ialah harusnya. Dan dengannyalah telah memutuskan oleh kebanyakan fuqahak.” (Kitab Al-Majmuk)

Berkata Syeikh Al-Qalyubi:

لا بأس باتباع المسلم جنازة قريبه الكافر. وكالقريب الزوج والجار والصديق، وزيارة قبره كذلك

Ertinya: “Tidak mengapa orang Islam mengikut hantar jenazah sanak saudaranya yang bukan Islam. Dan seperti sanak saudara itu ialah isteri dan jiran dan sahabat dan hukum ziarah kuburnya juga harus.” (Kitab Hasyiah Al-Qalyubi Wa ‘Umairah)

Dan jika yang ziarah itu mengambil iktibar dan kerana ingatkan kematian dari ziarahnya itu maka adalah ia sunat.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar:

أما قبورالكفار فلا يندب زيارتها وتجوز على الأصح نعم إن كانت الزيارة بقصد الاعتبار وتذكر الموت فهي مندوبة مطلقا

Ertinya: “Adapun kubur orang kafir maka tidak sunat ziarahnya. Dan harus hukumnya atas pendapat yang lebih sahih. Ya jika adalah ziarahnya itu dengan tujuan ambil pengajaran dan mengingati mati maka ziarah itu disunatkan secara mutlak.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 3/8/2025

- Advertisement -