
KANGAR: Meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-35, pasukan Perlis GSA FC menunjukkan semangat juang luar biasa apabila berjaya mengikat pasukan Kedah FA tanpa jaringan dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro yang digelar ‘Derby Utara’.
Aksi berlangsung penuh dramatik di hadapan hampir 9,000 penyokong memenuhi Stadium Tuanku Syed Putra, menyaksikan pertahanan utuh dan disiplin tinggi skuad Singa Utara dalam mengekang asakan lawan yang dibarisi pemain import.
Pertahanan Perlis, Nasri Ahmad Thauhid dilayangkan kad merah pada minit ke-35 selepas insiden kekasaran terhadap pemain import Kedah, Yakubu Abubakar, namun Perlis kekal kental bertahan hingga wisel penamat.
Turut mencuri tumpuan, kehadiran dua tokoh utama, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyaksikan sendiri detik mendebarkan penuh semangat anak jati utara.

Suasana gamat dengan sorakan penyokong tuan rumah yang terus menyuntik semangat anak-anak muda Perlis yang bermain sepenuh hati tanpa sebarang pemain import, bukti keberanian dan kebolehan bakat tempatan jika diberi ruang.
Pengurus Perlis GSA FC, Amar Rohidan yang juga bekas pemain kebangsaan, melahirkan rasa syukur dan bangga atas prestasi anak buahnya.
“Saya bersyukur kerana sambutan penyokong rakyat negeri Perlis, memang mereka ‘support’ (sokong penuh ) team kita malam ni, saya harap game kedepan ni pun mereka terus sokong team kitalah, harap turun beramai-ramai lagi.
“Bola sepak kita tak mati lagi, mungkin Insya-Allah, mungkin akan naik, pelan-pelanlah,” ujar beliau penuh semangat.
Dalam pada itu Mohd Shukri, bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri Perlis di atas sokongan padu yang ditunjukkan kepada pemain.
“Hebat! Pasukan Perlis hebat, main 10, tak dak import,” ujar beliau memberi penghargaan kepada Perlis GSA FC merupakan satu-satunya wakil negeri Perlis dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Dengan membawa semangat Singa Utara, pasukan ini menjadi simbol kebangkitan bola sepak Perlis yang pernah menggegarkan pentas bola sepak nasional suatu ketika dahulu. – HARAKAHDAILY 3/8/2025












