Kita dambakan ‘fantastik’ buat Palestin – Mumtaz

Malaysia, ASEAN dan Palestin

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia melalui Lajnah Antarabangsa sepenuh hati merayu agar Malaysia melangkah lebih tegas dan berani dalam perjuangan diplomatik untuk Palestin, khususnya selaku Pengerusi ASEAN 2025. Dunia Islam sedang menanti, bukan sekadar simpati, tetapi ia merupakan kepimpinan politik,  moral dan tindakan terhormat dan penuh berani daripada Malaysia.

- Advertisement -

Air mata, darah dan maruah Palestin kini berada di tahap paling genting.Lebih 60,000 rakyat Palestin telah syahid, termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak. Infrastruktur Gaza lumpuh. Kebuluran dan kelaparan menjadi senjata. PBB dilemahkan. Dunia membisu. Jika Malaysia yang memiliki sejarah cemerlang  solusi diplomatik antarabangsa tidak bangkit hari ini, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi?

Cubaan untuk melabel dan mengusir HAMAS adalah sangat mengaibkan. Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia  menegaskan bahawa Hamas adalah kerajaan sah yang dipilih secara demokratik oleh rakyat Palestin pada tahun 2006, dan hingga kini menjadi pemerintah ‘de facto’ Gaza. Mereka mewakili suara rakyat yang tertindas.

Malaysia harus istiqamah dan tegas mengiktiraf dan meneruskan hubungan rasmi dengan HAMAS sebagai wakil sah rakyat Palestin. Seharusnya Malaysia tidak berganjak tentang hal ini.

Kita bersama umat Islam dan manusia waras seluruh dunia tidak perlu tunduk kepada tekanan kuasa besar dan lobi Zionis yang cuba melabelkan HAMAS sebagai pengganas.Sebarang percubaan walau apa nama pun tidak akan menyebabkan kita akan membuat ‘normalisasi’ dengan rejim Israel melalui naratif damai palsu yang mengenepikan hak rakyat Palestin.

Perdana Menteri Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, mempunyai autoriti dan mandat moral dan politik untuk memimpin dunia Islam dan Global South dalam isu Palestin. Kami dengan ini menyarankan agar PMX memasukkan usul tergempar ASEAN+ mengenai Palestin, dan melibatkan negara-negara OIC serta NAM.

Sudah tiba masanya Malaysia menghantar utusan khas  untuk bertemu pemimpin utama dunia, termasuk Presiden Donald Trump, bagi menyampaikan tuntutan gencatan senjata dan tekanan ke atas Israel.

Malaysia berperanan untuk menaja usul bersama ke ICJ dan ICC untuk mendakwa Israel atas jenayah perang dan penghapusan etnik. Diplomasi sebenar memerlukan keberanian, bukan sekadar kenyataan. Malaysia telah melakukannya sebelum ini, seperti Bosnia, Rohingya, Afghanistan, Mindanao, Kashmir, Thailand dan Kemboja. Kini saatnya memperhebat langkah tuntas untuk Palestin.

Kami menegaskan bahawa segala bentuk penjajahan, rampasan tanah, sekatan makanan dan pembunuhan awam adalah jenayah perang. Israel bukan negara sah, tetapi entiti haram penjajah yang melanggar undang-undang antarabangsa.Tiada kompromi dengan Penjajah Sadis dan Perampas Tanah.

Malaysia sebagaimana lazimnya memimpin usaha membentuk pakatan Dunia Islam tanpa normalisasi, agar suara majoriti umat Islam tidak dibisukan oleh kuasa besar. Malaysia mesti bangkit sebagai benteng hadapan diplomasi ummah. Berbekalkan rekod kepimpinan, sejarah, sifat dan pengalaman Malaysia kami yakin dan mendoakan agar YAB Perdana Menteri, seluruh jentera Wisma Putra, dan pemimpin-pemimpin  semua Parti di Malaysia, diberi kekuatan untuk bersepakat dalam perjuangan ini, bukan hanya atas nama negara, tetapi atas nama maruah umat Islam dan amanah kemanusiaan sejagat.

عن أبي حمزة أنس بن مالكٍ رضي الله عنه خادم رسول الله صلى الله عليه وسلم عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ‏

“Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik RA, khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (HR Bukhari dan Muslim)

{ وَلَا تَرۡكَنُوۤا۟ إِلَى ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ…}
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu disentuh api neraka…” (Surah Hud: 113)

Siruu ala barakatillah.
Doa dari kami buatmu Palestin.
Sekian. Terima kasih.

YB DATO’ HAJAH MUMTAZ MD NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
Pengerusi Lajnah Antarabangsa
Dewan Muslimat PAS Pusat
Delegasi Rasmi Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke Persidangan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) – Forum Serantau Senjata Kecil (PFSALW) – Agenda Serantau Pelaksanaan Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS), Jakarta, Indonesia
Wakil Parlimen Malaysia ke Forum Parlimen Senjata Kecil (PFSALW) dengan kerjasama Inter-Parliamentary Union (IPU), Agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS), Geneva, Switzerland
3 Ogos 2025 – HARAKAHDAILY 3/8/2025

- Advertisement -